Saham OGX Group susut 20% kepada 28 sen pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham OGX Group susut 20% kepada 28 sen pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE

Gambar OGX Group
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac – Saham OGX Group Bhd dibuka pada 28 sen, susut 20% pada hari pertama dagangannya di Pasaran ACE berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen sesaham.

 

Saham syarikat yang menyediakan perkhidmatan dalam rumusan infrastruktur teknologi maklumat itu mula pulih sedikit dan didagang pada 31 sen pada jam pukul 9.15 pagi selepas hampir 35 juta saham bertukar tangan.

 

Pada harga terakhir itu, nilai syarikat dianggarkan sekitar RM233 juta.

 

Prestasi lemah ini berlaku ketika pasaran Asia terjejas oleh harga minyak yang tinggi susulan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah. 

 

Selain itu, berita mengenai siasatan perdagangan AS terhadap lebih dari 12 negara termasuk Malaysia kerana didakwa mempunyai kapasiti pengeluaran berlebihan juga menambah tekanan pasaran.

 

Sebelum ini IPO OGX Group Bhd menerima permintaan tinggi dengan kadar terlebih langgan sebanyak 10.11 kali.

 

Daripada jumlah dana yang diperoleh, 57.14% akan digunakan untuk pengambilalihan dan pengubahsuaian fasiliti baharu, 4.76% bagi pengembangan portfolio jenama infrastruktur IT manakala 3.81% untuk memperluaskan operasi ke Malaysia Timur dan 8.57% akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank.

 

Selain itu sebanyak 16.19% akan diperuntukkan untuk modal kerja dan baki selebihnya bagi menampung kos berkaitan penyenaraian

 

UOB Kay Hian bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan OGX Group, Tan Suan Loong berkata operasi perniagaannya tidak terjejas oleh ketegangan geopolitik yang sedang berlaku di Timur Tengah, walaupun sentimen pasaran yang lebih luas masih boleh mempengaruhi harga sahamnya dalam jangka masa terdekat.

 

Berucap kepada wartawan selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, beliau berkata setakat ini kumpulan itu tidak menghadapi sebarang gangguan akibat konflik tersebut, memandangkan situasi itu berlaku jauh dari lokasi operasi syarikat di dalam negara.

 

“Walaupun harga saham mungkin terjejas dalam jangka masa terdekat akibat keadaan pasaran secara umum dan perkembangan pasaran geopolitik, kami percaya ini adalah faktor sementara sahaja,” katanya. - DagangNews.com