Saham Foodie Media naik 18.3% kepada 35.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Foodie Media naik 18.3% kepada 35.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov – Saham Foodie Media Bhd dibuka 35.5 sen, meningkat 18.3% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 30 sen dalam penampilan pertamanya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pagi ini.

 

Saham Foodie Media seterusnya diniagakan pada 42 sen setakat 9.15 pagi, menilai syarikat itu pada RM372 juta. 

 

IPO tersebut berjaya mengumpul RM41.4 juta untuk syarikat dan RM33.6 juta untuk pemegang saham sedia ada, termasuk pengasas Nicholas Lim Pinn Yang. 

 

Permintaan pelabur berlebihan 24.63 kali ganda dengan bahagian Bumiputera dan awam masing-masing mencatat 13.09 dan 36.18 kali ganda permintaan.

 

Foodie Media mengurus 34 jenama gaya hidup di Asia Tenggara termasuk KL Foodie, Penang Foodie, Bangkok Foodie dan Malaysia Homie dengan jumlah pengikut media sosial sebanyak 46 juta. 

 

Syarikat mensasarkan untuk memperluas ekosistem perdagangan dan platform pencipta, membolehkan PKS dan jenama besar menjalankan kempen digital bersepadu dan jualan secara langsung (livestreaming).

 

Lebih separuh hasil IPO akan digunakan untuk pengambilan hampir 200 kakitangan baharu, RM9.2 juta bagi membeli bangunan untuk studio livestreaming, menaik taraf peralatan pengeluaran dan perisian pengurusan media sosial, manakala baki dana akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025, Foodie Media mencatat keuntungan bersih RM9.33 juta selepas perbelanjaan penyenaraian, meningkat daripada RM7.51 juta pada FY2024. Hasil pula meningkat 54.8% kepada RM37.09 juta.

 

Lim dijangka memperoleh hampir RM3.5 juta daripada penjualan sahamnya manakala isterinya, Ang Rui Mei dan abangnya, Pinn Jian, masing-masing menerima RM2.4 juta dan RM2.3 juta.

 

Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penanggung jamin tunggal bagi IPO Foodie Media. - DagangNews.com