Saham bermodal kecil, sederhana dijangka catat lonjakan semula susulan sentimen pelabur semakin pulih - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham bermodal kecil, sederhana dijangka catat lonjakan semula susulan sentimen pelabur semakin pulih - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mei - Saham bermodal kecil dan sederhana di Bursa Malaysia dilihat menawarkan peluang pelaburan menarik ketika sentimen pelabur terhadap aset berisiko semakin pulih susulan jangkaan konflik di Timur Tengah hanya bersifat sementara.

 

RHB Research berkata, segmen itu berpotensi mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2026 selepas ketinggalan berbanding indeks utama pasaran setakat ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, indeks FBM SC susut 0.2% tahun ke tahun, berbanding kenaikan 4.8% bagi FBM KLCI dan 9.9% untuk FBM 70.

 

“Kami percaya kelewatan prestasi ini menjadi petanda awal kepada penarafan semula yang lebih signifikan,” katanya dalam nota strategi pasaran.

 

RHB Research berkata, aktiviti dagangan dalam segmen saham kecil dan sederhana masih kekal rancak disokong kecairan domestik yang kukuh selain minat pelabur terhadap sektor yang sedang mengalami putaran pelaburan.

 

Firma itu turut menyifatkan jurang penilaian semasa sebagai menarik apabila saham dalam segmen berkenaan diniagakan pada diskaun lima hingga enam kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) berbanding FBM KLCI.

 

Selain itu, unjuran pertumbuhan pendapatan sebanyak 10.8% bagi saham small- dan mid-cap dilihat lebih tinggi berbanding 5.8% untuk FBM KLCI.

 

RHB Research berkata, trend pemulihan ekonomi dan peralihan sektor berpotensi membuka ruang kepada saham-saham yang sebelum ini ketinggalan untuk kembali dinilai semula oleh pasaran.

 

Antara sektor pilihan utama firma itu ialah pengguna, pembinaan, produk perindustrian, minyak dan gas, hartanah, teknologi serta tenaga hijau.

 

Bagaimanapun, firma itu memberi amaran bahawa konflik geopolitik berpanjangan, harga tenaga tinggi, gangguan rantaian bekalan dan kelemahan permintaan global boleh menjejaskan minat pelabur terhadap segmen tersebut.

 

Dalam pada itu, antara saham pilihan utama dengan saranan “beli” ialah Malaysian Pacific Industries Berhad dengan harga sasaran RM50.70 sesaham, UEM Sunrise Berhad (86 sen), Guan Chong Berhad (RM1.30), CTOS Digital Berhad (RM1.11) dan Bumi Armada Berhad (54 sen).

 

RHB Research turut memaklumkan bahawa edisi ke-21 Top 20 Malaysian Small-Cap Companies Jewels 2025 telah merekodkan pulangan pegangan berwajaran nilai sebanyak 20.1% sejak Mei 2025.

 

Prestasi itu jauh mengatasi FBM 70 yang meningkat 9.4% manakala FBM SC susut 2.5%, meskipun pasaran global berdepan ketidaktentuan akibat tarif timbal balas dan risiko geopolitik.

 

Sementara itu, UOB Kay Hian Research berpandangan jangkaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal boleh menyebabkan pelabur mengambil pendekatan lebih defensif menjelang suku keempat tahun ini.

 

Firma itu berkata, pelabur dijangka melakukan pengambilan untung dan beralih kepada portfolio berisiko rendah susulan ketidaktentuan politik serta kedudukan fiskal kerajaan yang masih ketat. - DagangNews.com