Saham Alpha atasi Beta, strategi ‘Dibayar Untuk Menunggu’ jadi tumpuan pasaran ekuiti 1Q26 - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Alpha atasi Beta, strategi ‘Dibayar Untuk Menunggu’ jadi tumpuan pasaran ekuiti 1Q26 - AmInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Jan - Pasaran ekuiti pada suku pertama 2026 (1Q26) dijangka lebih sesuai untuk pelabur yang berdisiplin dan bersabar, apabila kekangan kecairan serta ketiadaan pemangkin baharu mengehadkan potensi rali pasaran secara menyeluruh, menurut AmInvest.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan keadaan pasaran semasa tidak menyokong pengembangan gandaan penilaian (valuation multiple expansion), manakala pulangan berasaskan beta pasaran dilihat semakin tidak boleh diharap kerana aliran modal yang lebih bersifat kitar semula berbanding suntikan baharu.

 

Dalam persekitaran ini, katanya, pendekatan menunggu bukanlah bersifat pasif, sebaliknya strategi yang disengajakan, dengan tumpuan kepada saham yang mampu memberikan pulangan semasa menerusi dividen, sambil bergantung kepada pemilihan saham secara bottom-up bagi menjana pulangan jangka sederhana.

 

Kekangan kecairan terus menekan pasaran

Menurut AmInvest, kecairan pasaran kekal ketat, dengan pegangan tunai sekitar 5% daripada aset di bawah pengurusan (AUM), menunjukkan kitar semula modal dan bukannya pengembangan bersih.

 

Tekanan ini katanya, dijangka berterusan berikutan saluran penyenaraian awam permulaan (IPO) yang padat, melebihi 60 penyenaraian, kebanyakannya melibatkan syarikat berkapitalisasi besar.

 

"Keadaan ini dijangka mengekalkan kecairan pasaran sekunder pada tahap rendah dan menyukarkan pengembangan penilaian.

 

"Sebahagian tekanan mungkin diimbangi oleh penambahan lima bilion unit masing-masing bagi dana ASM dan ASB 3 Didik, namun setakat semakan terkini, unit tambahan tersebut masih belum dilancarkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Fokus kepada saham berdividen

AmInvest berkata, strategi utama kini adalah memberi keutamaan kepada saham yang menawarkan sokongan dividen, bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenaikan penilaian.

 

"Kecondongan diberikan kepada sektor perbankan, perladangan dan telekomunikasi terpilih, disokong oleh aliran tunai stabil, pendapatan berdaya tahan serta keterlihatan dividen yang baik," katanya lagi.

 

Sektor penjagaan kesihatan turut dilihat sebagai pembeza prestasi, menawarkan pendedahan defensif dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu, selain pertumbuhan struktur didorong oleh permintaan penjagaan kesihatan swasta.

 

Penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam kecekapan kos juga berpotensi menyokong peningkatan margin dan aliran tunai bebas yang lebih kukuh, sekali gus memperkukuh dividen dalam persekitaran pertumbuhan rendah.

 

AmInvest turut mengekalkan senarai pemantauan kejutan dividen, mengenal pasti syarikat yang masih mengagihkan dividen di bawah potensi aliran tunai bebas sebenar mereka. - DagangNews.com