RUU PSB lindungi hak pemilik, beri peluang kehidupan lebih baik - PLANMalaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RUU PSB lindungi hak pemilik, beri peluang kehidupan lebih baik - PLANMalaysia

Alias (tengah) pada sidang media berkaitan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Cadangan untuk menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dianggap tidak wajar memandangkan rang undang-undang itu telah melalui proses rundingan dan libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak.

 

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli, menegaskan RUU PSB bukan digubal untuk menggantikan undang-undang sedia ada atau mengambil kuasa kerajaan negeri, sebaliknya bertujuan melindungi hak rakyat bandar dan memberi peluang kehidupan lebih baik kepada pemilik asal.

 

“Setakat ini, lebih 108 sesi libat urus diadakan bersama badan profesional dan persatuan penduduk. Malah, ahli Parlimen turut dijemput menghadiri sesi penerangan dan lawatan tapak, tetapi tiada seorang pun hadir,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

 

Alias menjelaskan, RUU PSB tidak menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu atau kedudukan Tanah Rizab Melayu. Malah, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan pembaharuan semula bandar.

 

“Kuasa berkaitan tanah, termasuk tanah wakaf, kekal di bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Tiada langsung elemen paksaan dalam pengambilalihan tanah,” tegasnya.

 

Jaminan Hak dan Pampasan Adil

RUU PSB memberi jaminan bahawa pemilik asal tidak akan diketepikan. Mereka dijamin untuk kembali ke kediaman yang setara atau lebih baik selepas projek siap. Pampasan pula dijanjikan lebih menguntungkan daripada kaedah lama yang hanya menilai berdasarkan harga semasa.

 

“Melalui PSB, pemilik menikmati nilai masa hadapan yang lebih tinggi, termasuk dari segi keluasan, kemudahan dan kualiti hidup. Ia adalah satu mekanisme untuk memastikan kesejahteraan rakyat bandar, bukan sebaliknya,” ujar Alias.

 

Beliau menambah, PSB tidak menggantikan undang-undang sedia ada seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Kanun Tanah Negara, tetapi bertindak sebagai kerangka penyelarasan bagi memastikan pembangunan lebih tersusun dan efisien.

 

Kerajaan Pilih Dialog dan Keterbukaan

Kerajaan, katanya, telah menyediakan ruang keterbukaan melalui sesi penerangan dan lawatan tapak pada Mei lalu. Walaupun peluang itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ia membuktikan kerajaan komited membuka pintu dialog dan perbincangan.

 

“Kerajaan tidak pernah menutup pintu dialog. Setiap persoalan dijawab dan setiap kebimbangan diberi ruang untuk dibincangkan. Apa yang penting, masa depan rakyat bandar mesti diutamakan mengatasi kepentingan lain,” jelas Alias.

 

Beliau menegaskan, RUU PSB adalah soal kesejahteraan rakyat, bukan soal kuasa.

 

“Menolak PSB bermakna menolak peluang rakyat untuk hidup lebih baik, lebih selamat dan lebih bermaruah di bandar-bandar yang terus berkembang,” katanya. - DagangNews.com