RUU Akta Syarikat Milik Kerajaan sedang dirangka bagi kukuhkan reformasi, kata Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RUU Akta Syarikat Milik Kerajaan sedang dirangka bagi kukuhkan reformasi, kata Kementerian Kewangan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Nov - Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Akta Syarikat Milik Kerajaan (State-Owned Enterprise Act) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh reformasi institusi fiskal yang menyokong agenda pembangunan negara.

 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, kementerian berkata RUU tersebut bertujuan mengukuhkan tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti serta mengoptimumkan prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Bagaimanapun, MOF tidak menghuraikan butiran lanjut mengenai kandungan RUU itu atau memberikan tempoh masa pembentangannya di Dewan Rakyat.

 

Kementerian turut menarik perhatian bahawa kerajaan telah melaksanakan beberapa reformasi utama lain, termasuk Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang diluluskan Dewan Negara pada September bagi meningkatkan ketelusan dan tadbir urus dalam proses perolehan awam.

 

“Inisiatif-inisiatif ini amat penting bagi memperkukuh kerangka pengurusan fiskal dan korporat negara, memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan, inklusif dan berdaya tahan,” kata MOF. - DagangNews.com