KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sebanyak RM288.45 juta hasil cukai telah dipungut daripada peranti rokok elektronik, cecair dan gel, sama ada mengandungi nikotin atau tidak, dari tahun 2021 hingga Julai 2025.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah cukai yang dikutip daripada rokok bagi tempoh sama adalah sebanyak RM15.02 bilion.
“Secara keseluruhan, cukai dan duti yang dipungut daripada kedua-dua jenis produk adalah sebanyak RM15.3 bilion dari 2021 hingga Julai 2025,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan (PN), yang meminta beliau menyatakan jumlah cukai yang dikutip daripada vape setiap tahun sejak produk itu diperkenalkan di Malaysia berbanding dengan rokok.
Beliau menjelaskan, sebelum ini duti eksais hanya dikenakan ke atas cecair dan gel tanpa nikotin pada kadar 40 sen setiap mililiter.
“Selain itu, duti eksais turut dikenakan ke atas semua peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape, pada kadar ad valorem 10 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2021.
“Skop duti eksais ini kemudian diperluas kepada cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam vape dan rokok elektronik mulai 1 Mei 2023,” katanya.
Beliau berkata, kadar 40 sen per mililiter itu kemudiannya diaplikasikan kepada kedua-dua cecair dan gel nikotin serta bukan nikotin.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad minggu lalu berkata, laporan terperinci mengenai cadangan larangan rokok elektronik dan vape sedang dimuktamadkan oleh jawatankuasa pakar kementerian.
Katanya, laporan berkenaan yang turut meneliti penggunaan bahan terlarang dalam cecair vape termasuk dadah akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas siap, namun tanpa menetapkan garis masa tertentu.
“Ia bukan lagi persoalan sama ada kita akan melarangnya atau tidak, tetapi bila ia akan dilarang,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat. - DagangNews.com








