Riuh berbicara politik, sepi bisu hal ekonomi | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Riuh berbicara politik, sepi bisu hal ekonomi | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Saya tidak lagi gagah berdiri di pentas ceramah, tidak lagi laju menuruni tangga Parlimen, dan tidak lagi ligat menghadiri mesyuarat atau perbincangan dasar.

 

Kini, sebagai warga emas yang ditimpa angin ahmar enam tahun lalu, saya menulis dan membaca perlahan-lahan, bagaikan mencari semula denyut nadi perjuangan yang pernah saya ceburi. 

 

Politik dan ekonomi, dua kata besar yang menjadi latar belakang sebahagian hidup saya, kini saya pandang dari jendela sebuah kerusi roda, dalam ruang rumah yang sunyi. Namun renungan saya bukanlah bisu.

 

Dahulu saya pernah terlibat dalam politik, meski tidak lama. Seperti ramai anak muda idealis ketika itu, saya percaya politik ialah jalan perubahan. Saya fikir kuasa legislatif mampu mengubah struktur, membetulkan jurang, dan membawa keadilan.

 

Namun saya segera belajar bahawa politik di tanah air ini tidak selalu tentang dasar atau kesejahteraan rakyat. Ia tentang siapa yang lebih kuat menjerit, siapa yang pandai bermain persepsi, siapa yang tahu mengatur helah dan imej.

 

Kini, setelah melalui badai kesihatan, saya lebih suka menyendiri bersama buku-buku ekonomi, sejarah dan sastera. Saya membaca angka inflasi dan ringgit yang melemah, kadar pengangguran, jurang pendapatan antara kaum, dan pelaburan asing yang semakin kurang. 

 

Namun anehnya, ini bukan bahan bicara utama rakyat. Di warung kopi, media sosial, pejabat atau majlis keluarga, yang menghangatkan suasana ialah politik – siapa lompat parti, siapa bakal jadi PM, siapa bergaduh dalam parti siapa. Ekonomi hanya disinggung jika harga naik. Itu pun sekadar keluhan tanpa makna dasar.

 

Mengapa begini budaya kita?

Apakah politik menjadi pentas hiburan dalam negara ini, seolah-olah drama bersiri yang tiada tamat? Saya percaya, sebahagiannya kerana sistem politik kita telah lama mencipta watak-watak dan episod-episod yang lebih mirip sandiwara daripada wacana.

 

Rakyat dibiasakan dengan naratif konflik, pembelotan, skandal dan ucapan panas — bukan perbahasan bajet, bukan strategi ekonomi, bukan reformasi fiskal.

 

Media pula tidak membantu. Ruang berita lebih banyak mengangkat kenyataan politik berbanding laporan ekonomi yang mendalam. Rancangan bual bicara di kaca televisyen dan siaran langsung di media sosial pula lebih ghairah menyiarkan debat politik, manakala laporan ekonomi dikurung dalam istilah teknikal yang kaku dan membosankan bagi awam.

 

Apatah lagi dalam negara ini, politik dan perkauman terlalu rapat hubungannya. Isu ekonomi yang wajar dilihat secara dasar dan struktur telah lama dijajah oleh lensa perkauman. Bila ekonomi disebut, naratifnya cepat berubah menjadi 'siapa ambil hak siapa', bukan tentang ketidakcekapan sistem, monopoli pasaran, atau kekurangan inovasi dan produktiviti.

 

Saya juga melihat bahawa rakyat Malaysia belum diberikan ruang atau galakan untuk memahami ekonomi dalam makna yang sebenar. Ekonomi dilihat sebagai hal pakar, angka dan jargon.

 

Sedangkan hakikatnya, ekonomi adalah hidup seharian kita: harga barang, kadar gaji, peluang kerja, kemampanan simpanan persaraan. Tetapi perbincangan tentang dasar ekonomi jarang menjadi arus perdana kerana ia menuntut literasi dan kesabaran yang tidak dibentuk oleh sistem pendidikan dan media kita.

 

Mengapa bangsa lain yang menguasai ekonomi di tanah ini?

Ini bukan satu kenyataan bersifat perkauman, tetapi sebuah hakikat sejarah dan struktur. Sejak zaman penjajahan, struktur ekonomi telah diletakkan secara berasingan antara kaum — satu mewarisi tanah dan politik, satu lagi menguasai perdagangan dan pasaran. 

 

Selepas merdeka, dasar-dasar afirmatif yang digubal bertujuan untuk merapatkan jurang, tetapi seringkali gagal mencapai sasaran kerana kebocoran, ketirisan, dan politik naungan yang menjadikan dasar ekonomi sebagai alat patronaj.

 

Saya mengenali ramai anak muda Melayu yang rajin, kreatif dan berpotensi besar dalam perniagaan serta teknologi. Namun banyak usaha mereka tenggelam kerana tiada jaringan, modal atau sokongan struktur yang konsisten.

 

Dalam masa yang sama, ekonomi nasional dibelenggu oleh kartel lama dan sistem kronisme yang mematikan daya saing. Ironinya, walau parti bertukar, wajah-wajah di sebalik sistem kekal.

 

Berbanding negara serantau seperti Vietnam, Indonesia atau Thailand, Malaysia kelihatan semakin perlahan.
Negara-negara jiran kita kini lebih progresif dalam menarik pelaburan, membangunkan industri teknologi, dan membina keupayaan manusia. Malaysia masih sibuk dengan isu siapa patut jadi PM, siapa khianat siapa, siapa diheret ke mahkamah, dan siapa pula yang akan keluar parti. 

 

Pilihan Raya Umum hanya akan tiba dua tahun lagi, tetapi sejak PRU terakhir, politik negara seolah-olah tiada rehat. Rakyat dibius dengan drama tanpa henti — dan dalam kebisingan itu, suara ekonomi tenggelam.

 

Sebenarnya inilah yang paling saya risaukan sebagai warga emas: rakyat kita tidak dibiasakan berfikir tentang masa depan ekonomi negara. Mereka diajar memilih pemimpin berdasarkan slogan dan sentimen, bukan berdasarkan keupayaan ekonomi, kelayakan dasar atau visi pembangunan. 

 

Kita terlalu sibuk menonton politik seolah-olah ia sukan, tetapi lupa bahawa politik sepatutnya menjadi alat untuk membina ekonomi dan masyarakat yang adil dan makmur.

 

Apakah puncanya bukan ekonomi yang menjadi wacana utama?

Saya percaya puncanya terletak pada warisan struktur, kelemahan pendidikan politik, serta budaya masyarakat yang lebih gemar reaksi segera berbanding analisis. Politik menjanjikan emosi dan sensasi, sedangkan ekonomi menuntut kesabaran dan kefahaman.

 

Maka, seperti anak kecil yang lebih suka gula-gula daripada ubat, masyarakat kita dibiasakan memilih wacana yang manis dan hingar.

 

Tambahan pula, ekonomi bukan sahaja tidak difahami, malah tidak dirasa secara struktur oleh ramai orang. Selagi masih ada makanan di meja, kerja tetap berjalan, dan hiburan tersedia, rakyat tidak merasa keperluan mendesak untuk memahami bagaimana sistem ekonomi mempengaruhi mereka.

 

Tetapi ini satu ilusi yang merbahaya. Seperti retakan kecil di dinding rumah yang disapu cat setiap minggu — akhirnya rumah itu akan runtuh juga jika tidak diperbaiki asasnya.

 

Sebagai seorang yang telah melalui banyak negara, saya melihat bagaimana negara seperti Korea Selatan, Singapura dan New Zealand membina kekuatan melalui tumpuan kepada pendidikan, sains, teknologi dan ekonomi sebenar. 

 

Pemimpin mereka tidak sempurna, tetapi sistem mereka menjamin dasar yang stabil dan telus. Di Malaysia, kita belum selesai bergaduh tentang siapa lebih Islam, siapa lebih Melayu, siapa lebih layak — sedangkan negara-negara lain sudah berbicara tentang tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan, dan sistem kesihatan masa hadapan.

 

Berhentilah sorak politik

Saya tidak lagi berada di gelanggang politik. Saya hanya menulis perlahan-lahan, dengan jari yang kian keras, dan mata yang cepat penat. Namun saya masih percaya bahawa negara ini mempunyai potensi besar jika rakyatnya mula peduli tentang ekonomi seperti mereka peduli tentang politik.

 

Kita perlu membina budaya wacana yang sihat, pendidikan yang menanam keinsafan struktur, dan media yang berani mengangkat isu sebenar.

 

Dua tahun sebelum pilihan raya bukan terlalu awal untuk mula bertanya: "Apa visi ekonomi parti ini?", "Bagaimana dasar ini akan menjejaskan generasi akan datang?", "Siapa yang benar-benar faham struktur ekonomi negara?" 

 

Jika kita terus memilih pemimpin seperti memilih artis kegemaran, kita akan kekal menjadi penonton — bukan pemain dalam sejarah negara sendiri.

 

Dan sebagai warga emas OKU yang masih menulis, saya menyeru agar generasi muda belajar membezakan antara sorakan politik dan suara dasar.

 

Kerana akhirnya, yang menentukan nasib anak cucu kita bukanlah siapa yang pandai berpidato, tetapi siapa yang mampu merancang ekonomi dengan adil dan berani. - DagangNews.com