RHB Research turunkan unjuran pendapatan MRCB sehingga FY28F namun kekalkan saranan "BELI" disokong potensi kenaikan sekitar 50% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research turunkan unjuran pendapatan MRCB sehingga FY28F namun kekalkan saranan "BELI" disokong potensi kenaikan sekitar 50%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - RHB Research menurunkan unjuran pendapatan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi tempoh FY26F hingga FY28F sebanyak 14.8%, 14% dan 12% masing-masing, bagi mencerminkan kadar perkembangan buku tempahan yang lebih selari dengan keadaan operasi semasa.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menaikkan tahun asas penilaian kepada FY27F, sekali gus menghasilkan harga sasaran (TP) baharu berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM0.51, termasuk premium ESG sebanyak 4%.

 

Walaupun unjuran pendapatan disemak turun, penilaian MRCB dilihat masih menarik apabila kumpulan itu kini didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) sekitar 0.3 kali bagi FY26F, iaitu kira-kira satu sisihan piawai (1-SD) di bawah purata lima tahun.

 

Tambahnya, MRCB turut disokong oleh buku tempahan kukuh berjumlah RM5.7 bilion yang memberi keterlihatan pendapatan jangka sederhana.

 

"Pemangkin penilaian semula ialah potensi penyertaan dalam projek LRT Penang (laluan Macallum ke Penang Sentral) serta kemungkinan pemeteraian perjanjian berkaitan tanah di Bukit Jalil dilihat mampu menyokong sentimen saham kumpulan itu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Research mengekalkan saranan “BELI" dengan TP baharu RM0.51 berbanding RM0.57 sebelum ini, disokong potensi kenaikan sekitar 50% serta hasil dividen FY27F kira-kira 3%.

 

Bagaimanapun, keuntungan teras suku pertama FY26 MRCB mencatat RM3.5 juta, merosot 59% tahun ke tahun (YoY) dan berada di bawah jangkaan pasaran, hanya merangkumi 6%–7% daripada unjuran FY26F.

 

Prestasi lebih lemah itu didorong oleh kadar cukai lebih tinggi serta andaian kemajuan bil projek pembinaan yang lebih optimistik sebelum ini.

 

Dalam segmen pembinaan, keuntungan operasi (EBIT) melonjak lebih 100% YoY kepada RM38.5 juta, disokong peningkatan kerja-kerja pembinaan termasuk projek Kompleks Sukan Shah Alam serta projek mitigasi banjir Sungai Langat 2.

 

Projek Kompleks Sukan Shah Alam yang telah siap fasa perobohan pada FY25 dijangka memasuki fasa kontrak pembinaan utama selepas ini.

 

Bagi projek LRT3 Malaysia, sebarang tuntutan ganti rugi (LAD) hanya akan ditentukan selepas siap projek dan berpotensi diimbangi melalui tuntutan kepada subkontraktor.

 

Sementara itu, segmen hartanah mencatat kerugian sebelum faedah dan cukai (PBIT) lebih besar kepada RM8.8 juta berbanding kerugian RM4.3 juta setahun lalu, susulan pengurangan inventori siap untuk jualan di beberapa projek utama.

 

Buku tempahan belum dibil (unbilled orderbook) MRCB kekal kukuh pada RM5.6 bilion setakat akhir 1Q26, memberikan visibiliti pendapatan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

 

Prospek masa depan syarikat turut disokong oleh projek naik taraf KL Sentral yang dianggarkan bernilai RM1 bilion, selain peluang tender dalam projek mitigasi banjir, jalan raya dan pembetungan serta potensi pakej pembangunan lain termasuk peluasan Lapangan Terbang Pulau Pinang dan projek Penang LRT.

 

Dalam segmen hartanah, MRCB menyasarkan jualan RM800 juta bagi FY26 dengan jualan suku pertama sebanyak RM82 juta, disokong projek MARIS Gold Coast, serta pelancaran baharu bernilai RM2.2 bilion.

 

Syarikat turut menjangka projek hartanah di Australia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion akan menyumbang selepas siap sepenuhnya pada FY28–FY29. - DagangNews.com