RHB Research kekal NEUTRAL terhadap saham IHH Healthcare, turunkan TP kepada RM9.30 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research kekal NEUTRAL terhadap saham IHH Healthcare, turunkan TP kepada RM9.30

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Julai - RHB Research mengekalkan saranan "NEUTRAL" terhadap IHH Healthcare Bhd dengan harga sasaran (TP) berdasarkan jumlah bahagian (SOP) baharu sebanyak RM9.30 berbanding RM9.60 sebelum ini, yang masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 9%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan mengekalkan penarafan tersebut mengambil kira jangkaan prestasi kewangan suku kedua FY2026 (2Q26) IHH yang dijangka kekal sejajar dengan jangkaan, disokong pertumbuhan lebih kukuh daripada operasi Malaysia dan Acibadem yang dijangka mengimbangi kelemahan berterusan di Singapura.

 

Menurut RHB Research, penyusutan harga saham IHH baru-baru ini dilihat mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap pemulihan operasi Singapura yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

"Jika harga saham terus melemah, kami mengesyorkan pelabur mengumpul saham secara berperingkat ketika berlaku kelemahan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Unjuran Pendapatan Disemak

RHB Research turut menyemak unjuran pendapatan FY2026 hingga FY2028 dengan pelarasan masing-masing sebanyak **-1%, +1% dan +2%**, dengan perubahan terbesar berpunca daripada operasi Singapura.

 

Firma itu menurunkan unjuran pertumbuhan intensiti hasil Singapura bagi FY2026 kepada 2% berbanding 5% sebelum ini, manakala pertumbuhan kemasukan pesakit dalam disemak kepada -4% daripada +2% sebelumnya.

 

Semakan itu mengambil kira perubahan struktur jumlah pesakit yang beralih ke hospital awam serta pemulihan ketibaan pelancong perubatan yang lebih perlahan.

 

"Walaupun pihak pengurusan sedang melaksanakan usaha untuk mengurangkan kehilangan pesakit menerusi pengembangan pakej penjagaan kesihatan dan mempelbagaikan sumber pelancongan perubatan selain Indonesia, langkah tersebut memerlukan masa untuk menunjukkan hasil," katanya.

 

Sebaliknya, Malaysia dijangka berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada perubahan aliran pesakit tersebut berikutan struktur harga rawatan yang lebih kompetitif.

 

Susulan prospek yang lebih baik, RHB Research menaikkan andaian margin EBITDA operasi Malaysia sebanyak 1 mata peratusan kepada 26.0% hingga 26.2% bagi FY2026 hingga FY2028, selaras dengan panduan pengurusan antara 25% hingga 26%.

 

Harapan Kepada Prestasi Türkiye

Selain Malaysia, prestasi Acibadem di Türkiye turut menjadi pemangkin kepada penilaian IHH apabila RHB Research menaikkan unjuran pendapatan unit tersebut bagi FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 13%, 18% dan 24%.

 

Walaupun unjuran Türkiye masih mencabar berikutan kesan pelaksanaan piawaian perakaunan MFRS 129 berkaitan hiperinflasi, RHB Research berkata anggaran baharu itu masih konservatif kerana kekal lebih rendah berbanding kadar pendapatan tersirat berdasarkan prestasi 1Q26.

 

Menurut RHB Research, potensi peningkatan kepada penilaian IHH boleh datang daripada pemulihan operasi Singapura lebih awal daripada jangkaan serta prestasi pendapatan Türkiye yang lebih kukuh.

 

Namun, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk pertumbuhan ekonomi lebih perlahan yang boleh menjejaskan jumlah pesakit, risiko membayar harga tinggi bagi pengambilalihan, tekanan inflasi kos operasi yang mengehadkan keupayaan memindahkan kos kepada pelanggan serta turun naik mata wang yang boleh menyebabkan kerugian terjemahan. - DagangNews.com