REX Industry jual operasi F&B Malaysia bernilai RM40 juta, fokus kepada anak syarikat Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

REX Industry jual operasi F&B Malaysia bernilai RM40 juta, fokus kepada anak syarikat Indonesia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Sept – REX Industry Bhd mengumumkan penjualan keseluruhan operasi makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dengan nilai tunai RM40 juta, sebagai sebahagian daripada langkah strategik untuk memberi tumpuan kepada anak syarikatnya di Indonesia yang lebih menguntungkan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, penjualan itu melibatkan 100% pegangan dalam Rex Canning Co Sdn Bhd dan Rex Trading Sdn Bhd, yang bertanggungjawab dalam pemerolehan, pemprosesan dan pengedaran produk berjenama Rex di pasaran tempatan.

 

Transaksi ini diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan dan tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), serta kebenaran daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Langkah ini membolehkan REX keluar daripada operasi Malaysia yang mencatatkan kerugian, terutamanya selepas penutupan fasiliti di Bukit Minyak pada tahun 2023 dan peningkatan kos pemerolehan bahan mentah.

 

Hasil daripada pelupusan ini akan digunakan bagi menyokong operasi PT Rex Canning di Indonesia, yang terlibat dalam pembuatan makanan laut dalam tin untuk tujuan eksport. 

 

Anak syarikat tersebut merupakan penyumbang utama keuntungan kumpulan, dengan mencatatkan hasil sebanyak RM85.7 juta dan keuntungan sebelum cukai RM2.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

 

Pelupusan ini dijangka akan menyebabkan kerugian pro forma sebanyak RM4.69 juta kepada kumpulan.

 

Langkah strategik ini turut menyusuli perubahan dalam struktur pemegang saham REX Industry, di mana ETA Industries yang dikuasai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Chin Hui, kini memegang 55.04% kepentingan selepas tawaran pengambilalihan mandatori yang telah selesai baru-baru ini. - DagangNews.com