KUALA LUMPUR 25 Sept – Rex Industry Bhd berhasrat untuk menukar nama kepada ETA Group Bhd susulan penguasaan ETA Industries Sdn Bhd sebagai pemegang saham terbesar syarikat itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Rex Industry berkata, cadangan itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Kami sedang menunggu kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM),” katanya.
ETA Industries, di bawah kawalan Ketua Pegawai Eksekutif Rex Industry, Lim Chin Hui kini menguasai 55.04% pegangan selepas selesai tawaran pengambilalihan mandatori pada 25 Julai lalu.
Tawaran itu tercetus selepas syarikat berkenaan membeli blok saham 40.59% daripada Darmendran Kunaretnam dan Daiman Taipan Sdn Bhd bernilai RM26.81 juta atau 10 sen sesaham.
ETA turut membeli 39.18% waran Rex pada harga setengah sen seunit.
Minggu lalu, Rex Industry mengumumkan penjualan keseluruhan operasi makanan dan minuman di Malaysia bernilai RM40 juta tunai.
Langkah itu membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada anak syarikat lebih menguntungkan di Indonesia iaitu PT Rex Canning yang mengeluarkan produk siap berlabel pelanggan untuk pasaran eksport.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, PT Rex mencatatkan hasil RM85.7 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM2.1 juta, menjadikannya pemacu utama pendapatan kumpulan. - DagangNews.com








