Reneuco mohon kelulusan mahkamah urus penstrukturan semula hutang dengan pemiutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reneuco mohon kelulusan mahkamah urus penstrukturan semula hutang dengan pemiutang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Mei - Syarikat pembinaan tenaga dan utiliti, Reneuco Bhd, yang kini berstatus Nota Amalan 17 (PN17), memohon perintah mahkamah bagi memudahkan penstrukturan semula hutangnya.

 

Reneuco memaklumkan, syarikat itu bersama enam anak syarikatnya, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi kelmarin, untuk mendapatkan kelulusan skim penyusunan semula hutang bersama pemiutang.

 

Skim tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan syarikat untuk keluar daripada status PN17 dan memulihkan kedudukan kewangannya.

 

"Syarikat turut memohon perintah sekatan untuk menghalang tindakan undang-undang terhadapnya, memberi ruang kepada syarikat untuk menyiapkan pelan pemulihan tanpa gangguan daripada tuntutan pemiutang," katanya dalam dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Menurut Reneuco, butiran lengkap skim penyusunan semula akan dimaklumkan kemudian. 

 

Untuk dilaksanakan, skim berkenaan memerlukan persetujuan 75% nilai hutang daripada pemiutang dalam mesyuarat yang dipanggil oleh mahkamah.

 

Setakat Disember 2024, Reneuco hanya mempunyai tunai RM10.03 juta, manakala hutangnya mencecah RM292.09 juta.

 

Syarikat itu disenaraikan sebagai PN17 pada Februari 2024 selepas juruaudit tidak dapat mengesahkan penyata kewangannya bagi tempoh berakhir 30 September 2023.

 

Awal bulan ini, SIRIM Bhd memfailkan petisyen pembubaran terhadap Reneuco kerana hutang RM3.14 juta berkaitan perjanjian pemegang saham pada 2021 dan jaminan korporat pada 2022.

 

Syarikat itu sebelum ini membeli 70% pegangan dalam Granulabs (M) Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh anak syarikat SIRIM, iaitu SIRIM Tech Ventures Sdn Bhd. 

 

Reneuco bersetuju untuk menjelaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM5.19 juta berserta faedah dan RM3.14 juta yang diminta melalui petisyen tersebut merupakan baki yang belum dijelaskan. - DagangNews.com