REHDA saran kerajaan rancang dasar perumahan berasaskan data, AI bagi seimbangkan bekalan dan permintaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

REHDA saran kerajaan rancang dasar perumahan berasaskan data, AI bagi seimbangkan bekalan dan permintaan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih dinamik dan berasaskan data dalam merangka dasar perumahan bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

 

Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, semakan berkala terhadap kuota perumahan serta keperluan dasar sedia ada perlu dibuat berdasarkan keadaan pasaran sebenar, termasuk corak permintaan, kemampuan pembeli dan keperluan sesuatu kawasan.

 

Menurut beliau, Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai sumber data berkaitan perumahan daripada beberapa agensi seperti Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), Transformasi dan Pemerkasaan Penggunaan Data dalam Perumahan (TEDUH), Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Hab Pangkalan Data Utama (PADU).

 

Namun, katanya, data berkenaan masih berselerak dan belum dimanfaatkan sepenuhnya kerana tidak disepadukan untuk membantu proses membuat keputusan.

 

"Untuk maklumat digunakan secara berkesan dalam membuat keputusan, set data ini perlu digabungkan supaya maklumat berkaitan pendapatan, bekalan rumah, demografi, pengangkutan dan perancangan bandar dapat dianalisis secara bersama, bukannya secara berasingan," katanya dalam sidang media hari ini.

 

Jeffrey berkata, penyepaduan data yang lebih menyeluruh mampu membantu kerajaan mengenal pasti ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan perumahan lebih awal, sekali gus mengelakkan pembangunan rumah yang tidak memenuhi keperluan pasaran.

 

Beliau turut mencadangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi kembar digital bagi membantu kerajaan membuat perancangan perumahan yang lebih tepat dan berkesan.

 

t

 

Menurutnya, teknologi berkenaan berupaya memberikan gambaran lebih jelas mengenai jumlah rumah yang diperlukan, jenis kediaman yang sesuai, lokasi pembangunan serta hubung kaitnya dengan kawasan pekerjaan, kemudahan awam dan perkhidmatan.

 

"AI dan kembar digital adalah teknologhi yang sangat berkuasa, tetapi ia hanya berfungsi dengan maklumat yang lengkap, boleh dipercayai dan bersepadu," katanya.

 

Dalam pada itu, Jeffrey berkata kerajaan juga perlu mencari keseimbangan antara mengawal perkembangan bandar secara meluas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

 

Katanya, pembangunan berorientasikan transit (TOD) perlu diberi perhatian susulan pelaburan besar negara dalam sistem rel yang membuka peluang untuk menyusun semula hubungan antara perumahan, pengangkutan dan perancangan bandar.

 

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan lebih ramai rakyat tinggal berhampiran kawasan pekerjaan, perkhidmatan, kemudahan dan prasarana, sekali gus meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

 

Sementara itu, penerbitan kajian terbaru Institut REHDA bertajuk "Housing For All: Co-Creating A Needs Driven Framework" akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada mesyuarat meja bulat pada 28 Julai 2026.

 

Dapatan utama laporan itu akan dibentangkan semasa Persidangan Perumahan Serantau 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 29 Julai dengan tema "Housing Impact on Sustainable Urban Development and City Planning".

 

Persidangan itu dijangka menghimpunkan lebih 300 pemegang taruh kanan daripada sektor kerajaan dan swasta. - DagangNews.com