IPOH 24 Okt - Pasaran hartanah Perak kekal stabil dengan permintaan berterusan di kawasan utama seperti Ipoh, Seri Iskandar, Manjung dan Kampar.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Perak, Ir. Loh Ban Ho berkata, sektor kediaman di negeri ini terus menyumbang secara signifikan kepada jumlah transaksi hartanah nasional.
Menurut beliau, ini mencerminkan daya tahan pasaran walaupun berdepan tekanan kos dan cabaran kemampuan memiliki rumah.
“Indeks Harga Rumah Malaysia (MHPI) terus menunjukkan peningkatan sederhana sekitar 2 peratus tahun ke tahun.
“Ini menggambarkan pasaran yang masih aktif, namun turut menandakan tekanan kemampuan membeli rumah, khususnya bagi pembeli kali pertama,” katanya pada sidang akhbar sempena Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Perak di sini.

Mapex Perak yang berlangsung selama tiga hari pada 31 Oktober hingga 2 November depan di Ipoh Parade bakal mempamerkan 6,000 hartanah perumahan dengan nilai lebih RM3 bilion.
Ban Ho berkata, bagi memastikan sektor hartanah terus berdaya saing, beliau mencadangkan agar kerajaan meneliti semula beberapa dasar pembangunan yang dianggap terlalu ketat dan menambah kos projek.
Katanya, pelonggaran keperluan pematuhan tertentu boleh membantu menurunkan kos pembinaan, sekali gus memastikan harga rumah kekal mampu milik.
Beliau juga mencadangkan kerajaan memberi insentif kepada pemaju yang mengamalkan konsep bangunan hijau seperti rebat caj pembangunan atau tambahan kepadatan bagi projek yang lebih lestari.

“REHDA Perak turut menggesa digitalisasi urusan permohonan utiliti seperti Lembaga Air Perak, Tenaga Nasional Berhad, Indah Water Konsortium, Telekom Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
“Pelaksanaan sistem penyerahan dalam talian sepenuhnya bagi permohonan dan kelulusan projek.
“Kalau semua urusan boleh dibuat secara digital, banyak masa dapat dijimatkan. Ia juga akan meningkatkan ketelusan dan mengurangkan kelewatan projek,” jelasnya.
Mengenai pembinaan rumah mampu milik, Ban Ho berkata REHDA Perak bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menambah bekalan terutamanya di kawasan yang sedang pesat membangun seperti Ipoh dan Seri Iskandar.


Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan insentif khas kepada pemaju rumah mampu milik, sama ada melalui penyediaan tanah, bantuan infrastruktur atau kemudahan pinjaman mudah daripada agensi kerajaan.
“Kestabilan pasaran hartanah memerlukan kerjasama antara kerajaan, agensi utiliti dan pemain industri agar pembangunan yang dijalankan bukan sahaja menguntungkan, tetapi juga memenuhi keperluan rakyat.
“Pasaran yang sihat bermakna rumah mampu dimiliki rakyat, pemaju dapat terus berdaya saing dan ekonomi negeri terus berkembang,” katanya. - DagangNews.com








