Reach Ten perluas liputan Starlink 10 kapal dan pelantar luar persisir, 349 sekolah pacu prestasi kewangan 3Q25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reach Ten perluas liputan Starlink 10 kapal dan pelantar luar persisir, 349 sekolah pacu prestasi kewangan 3Q25

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 Dis – Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpangkalan di Sarawak, Reach Ten Holdings Bhd, terus memperluaskan jejak perkhidmatannya apabila memulakan pelaksanaan sambungan Starlink Inc merangkumi 10 kapal dan pelantar luar pesisir, selain 349 sekolah di Sarawak dan Sabah.

 

Daripada jumlah itu, 337 sekolah di Sarawak dan 12 sekolah di Sabah kini telah menerima liputan Starlink, melengkapkan sokongan sedia ada kepada 208 sekolah di Sarawak melalui perkhidmatan 4G. 

 

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pembelajaran digital dan platform pendidikan dalam talian bagi komuniti luar bandar.

 

Dalam sektor maritim dan minyak dan gas (O&G), Reach Ten telah membekalkan perkhidmatan Starlink kepada 10 kapal dan pelantar luar pesisir, menyediakan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan kependaman rendah bagi menyokong kecekapan operasi serta kebajikan kru.

 

Selain itu, Starlink turut diintegrasikan sebagai sistem backhaul di tujuh lokasi menara telekomunikasi bagi memperkukuh kesinambungan rangkaian di kawasan yang mempunyai liputan gentian terhad.

 

Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, teknologi Starlink membolehkan syarikat itu merapatkan jurang keterhubungan di kawasan yang sukar dicapai.

 

“Starlink membolehkan kami membawa internet berkelajuan tinggi yang boleh dipercayai ke lokasi yang tidak dapat ditembusi oleh infrastruktur tradisional. Sama ada bagi kru luar pesisir, ketahanan rangkaian atau pembelajaran digital di sekolah luar bandar, teknologi ini benar-benar mengubah landskap keterhubungan di kawasan hadapan, ” katanya seperti dilaporkan portal The Malaysian Reserve.

 

Pelaksanaan berskala besar itu turut menyumbang kepada prestasi kewangan yang stabil bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q25) apabila Reach Ten merekodkan hasil RM27.1 juta, disumbangkan terutamanya oleh segmen gentian optik dan komunikasi berasaskan satelit.

 

Keuntungan kasar mencecah RM13.71 juta, dengan margin keuntungan kasar 50.6%, manakala keuntungan bersih berjumlah RM9.25 juta, bersamaan margin bersih 34.1%.

 

Segmen perkhidmatan berasaskan satelit kekal sebagai penyumbang hasil terbesar pada RM17.11 juta, diikuti RM7.71 juta daripada perkhidmatan gentian dan RM2.27 juta daripada infrastruktur telekomunikasi serta perkhidmatan terurus. 

 

Sarawak kekal sebagai pangkalan hasil utama kumpulan.

 

Bagi kedudukan kewangan, Reach Ten menamatkan suku tersebut dengan tunai dan setara tunai RM151.41 juta, termasuk deposit tetap dan jangka pendek.

 

Aset bersih sesaham berada pada 22 sen, manakala pinjaman hanya RM2.64 juta, meletakkan syarikat dalam kedudukan tunai bersih.

 

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim kedua satu sen sesaham berjumlah RM10 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), yang akan dibayar pada 15 Januari 2026 dengan tarikh kelayakan pada 30 Disember 2025.

 

Bagi tempoh lapan bulan dari Februari hingga September 2025, Reach Ten mencatat hasil RM76.92 juta, keuntungan kasar RM38.22 juta dan keuntungan bersih RM25.79 juta, dengan margin keuntungan kasar 49.7% serta margin bersih 33.5%.

 

Momentum segmen gentian turut kekal kukuh apabila setakat 31 Oktober, Reach Ten telah memasang 351.5km saluran gentian optik dan 887km kabel gentian optik di Kuching serta Samarahan, Sarawak, peningkatan 134.5km saluran dan 238km kabel sejak Mac.

 

Kerja pembinaan kini berjalan di Tebedu, Bau dan Miri, dengan fasa seterusnya dirancang di Bintulu dan Sibu dalam tempoh terdekat.

 

Menurut Chin, permintaan bagi perkhidmatan berasaskan satelit dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, khususnya dalam segmen maritim, pendidikan dan komuniti luar bandar, manakala pengembangan berterusan rangkaian gentian dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan berulang yang lebih stabil untuk kumpulan. - DagangNews.com