KUALA LUMPUR 1 Julai - Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah memberi perkenan untuk melantik Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden UIAM ke-10.
Pelantikan ini untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2028 bagi menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang telah tamat tempoh pelantikan pada 30 Jun 2025.
Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain adalah berdasarkan kepada ketokohan dan kewibawaan beliau dalam sektor korporat negara terutama dalam bidang kewangan Islam.
Beliau merupakan pengasas kepada Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji sejak tahun 2023.
Beliau juga bukanlah orang baharu dalam bidang pendidikan tinggi apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor UIAM pada tahun 2018 hingga kini dan turut menyandang jawatan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka mulai tahun 2024.
Kementerian Pendidikan Tinggi yakin dengan pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain akan memperkukuh lagi peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan nilai-nilai Islam, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan daya saingnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin bin Osman atas jasa bakti beliau sebagai Presiden UIAM sebelum ini.
Sementara itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengucapkan tahniah atas pelantikan tokoh korporat yang juga pengasas Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden ke-10 UIAM.
Tan Sri Abdul Rashid juga merupakan Ahli Lembaga Gabenor (BOG) UIAM yang telah dilantik sejak Disember 2018 hingga kini.
Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar menyifatkan pelantikan tersebut sebagai langkah strategik ke arah pengukuhan peranan Universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden baharu UIAM disambut dengan penuh rasa hormat dan harapan tinggi kepimpinan Universiti".
"Beliau merupakan tokoh terkemuka dalam bidang kewangan, tadbir urus korporat dan perkhidmatan awam. Pelantikan beliau dijangka membawa hala tuju strategik baharu dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, inovasi dan kerjasama antarabangsa UIAM," katanya.
Tambah beliau lagi, kepimpinan Tan Sri Abdul Rashid dijangka memperkasa pembangunan akademik, penyelidikan, pembangunan bakat dan pengukuhan jaringan global berteraskan nilai-nilai Islam.
"Warga UIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini dan komited untuk bersama beliau dalam memacu Universiti ke tahap yang lebih gemilang dan kami warga Universiti menjunjung setinggi kasih atas perkenan Ketua Perlembagaan UIAM bagi lantikan tersebut," ujarnya.
Seluruh Pengurusan dan warga UIAM turut menyampaikan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman atas sumbangan serta jasanya sepanjang menerajui Universiti sebagai Presiden ke-9. - DagangNews.com








