Ranhill rancang bida projek solar 250MW menerusi LSS Sabah 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ranhill rancang bida projek solar 250MW menerusi LSS Sabah 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei – Ranhill Utilities Bhd merancang untuk menyertai bidaan projek Solar Berskala Besar (LSS) Sabah 2026 sebagai langkah memperkukuh penglibatannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

Kumpulan utiliti itu berkata, pihaknya bercadang mengambil bahagian dalam tender projek berkenaan menerusi kerjasama dengan entiti negeri Sabah yang layak.

 

Projek Solar Berskala Besar Sabah 6 itu menawarkan kapasiti keseluruhan 250 megawatt (MW) tenaga solar serta sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 200MW/400 megawatt sejam (MWh).

 

 

 

 

 

 

Ranhill berkata, penglibatan dalam projek itu selari dengan usaha kumpulan memperluaskan portfolio tenaga hijau selain menyokong keperluan bekalan elektrik yang lebih stabil di Sabah.

 

Syarikat itu sebelum ini telah mengendalikan loji solar LSS4 berkapasiti 50MW di Bidor, Perak yang mula beroperasi secara komersial pada Februari 2024.

 

Sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Sabah, Ranhill turut memiliki dan mengendalikan dua loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan di Kota Kinabalu dengan kapasiti keseluruhan 380MW.

 

Kumpulan itu juga memaklumkan telah menerima surat hasrat bagi melanjutkan konsesi kuasa Ranhill Sabah Energy I Sdn Bhd daripada 2029 hingga 2032 dan akan mengemukakan cadangan rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sebelum 31 Julai 2026.

 

YTL Power International Bhd memiliki 53.2% kepentingan dalam Ranhill Utilities.

 

Dalam perkembangan laporan kewangan terkini, Ranhill mencatat keuntungan bersih RM58.4 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 dengan hasil sebanyak RM612.5 juta.

 

Bagaimanapun, tiada angka perbandingan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan perubahan tahun kewangan kumpulan daripada 31 Disember kepada 30 Jun.

 

Kumpulan itu berkata, prestasi tersebut disumbangkan terutamanya oleh unit perniagaan airnya, Ranhill SAJ Sdn Bhd yang merupakan pengendali utiliti air tunggal di Johor.

 

Segmen air merekodkan hasil sebanyak RM467 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM78.9 juta.

 

Sementara itu, segmen tenaga menjana hasil RM57.4 juta yang kebanyakannya diperoleh daripada bayaran kapasiti dan tenaga oleh Ranhill Sabah Energy I Sdn Bhd sebanyak RM30 juta serta Ranhill Sabah Energy II Sdn Bhd sebanyak RM26.8 juta.

 

Segmen berkenaan mencatat keuntungan sebelum cukai RM4.1 juta pada suku tersebut.

 

Pada masa sama, segmen perundingan dan perkhidmatan menyumbang hasil sebanyak RM88.1 juta yang didorong terutamanya oleh yuran kejuruteraan dan perundingan.

 

 

 

 

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, Ranhill mencatat keuntungan bersih RM126.5 juta dengan hasil RM1.83 bilion.

 

Kumpulan itu menjangkakan segmen air terus berkembang disokong peningkatan permintaan penggunaan, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta pertumbuhan pusat data. - DagangNews.com