Ramssol sasar 500 motosikal elektrik pertama di Indonesia, tandatangan kerjasama tiga hala dengan Smoot, Swap | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramssol sasar 500 motosikal elektrik pertama di Indonesia, tandatangan kerjasama tiga hala dengan Smoot, Swap

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovRamssol Group Berhad, penyedia utama penyelesaian teknologi sumber manusia dan pelesenan digital, hari ini mengumumkan anak syarikat tidak langsungnya, PT Rider Gate Indonesia, telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Motor Listrik dan Baterai dengan PT Smoot Motor Indonesia dan PT Swap Energi Indonesia bagi melancarkan ekosistem penyewaan motosikal elektrik (EV) bersepadu untuk sebuah platform e-hailing dan penghantaran utama di Indonesia.

 


Perjanjian selama tiga tahun itu menandakan kemasukan rasmi Ramssol ke dalam pasaran mobiliti elektrik Indonesia, yang kini berkembang pesat dengan sokongan dasar kerajaan dan insentif fiskal.

 


Di bawah perjanjian itu, Rider Gate Indonesia akan memulakan pelaksanaan awal 500 unit motosikal elektrik menjelang akhir tahun kewangan 2025 (FY2025), sebelum meningkatkan jumlahnya secara progresif sejajar dengan kadar penerimaan dan permintaan daripada rakan penghantar sepanjang tempoh kontrak.

 


Menurut Ramssol, kerjasama itu menggabungkan kekuatan tiga pemain utama dalam ekosistem EV. 

 

PT Smoot, pengedar motosikal elektrik jenama “Smoot Elektrik”, akan membekalkan kenderaan tersebut, manakala PT Swap, pelopor dalam infrastruktur pertukaran bateri dan pemasangan bateri EV dua roda (R2), akan menyediakan serta menyelenggara komponen dan rangkaian pertukaran bateri.

 


“Kami teruja untuk memulakan kerjasama penting ini dan membawa kepakaran teknologi digital serta sumber manusia Ramssol ke dalam ekosistem EV Indonesia yang pesat berkembang. Pelaksanaan awal 500 motosikal elektrik menjelang FY2025 ini merupakan langkah kukuh dalam perjalanan pertumbuhan serantau kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Ts. Cllement Tan, dalam kenyataan hari ini.

 


Katanya, inisiatif itu bukan sekadar pencapaian komersial, tetapi juga mencerminkan komitmen Ramssol terhadap agenda mobiliti hijau Indonesia selain mempelbagaikan kehadiran kumpulan itu dalam sektor mampan bernilai tinggi.

 


“Sejak pelancaran Rider Gate Malaysia pada Januari 2025, kami telah bergerak pantas memperluas operasi ke Indonesia dalam tahun yang sama. Ini merupakan pencapaian besar bagi startup pada peringkat ini, sekali gus membina asas kukuh untuk pertumbuhan eksponen pada masa depan. Melalui Rider Gate, kami mahu menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses oleh rakan penghantar, sambil membina model penyewaan berasaskan teknologi yang mampan dan bernilai jangka panjang,” katanya lagi.

 


Perjanjian tiga hala itu turut merangkumi skim sewa-beli selama dua tahun tambahan yang akan dilaksanakan melalui aplikasi COCORIDE milik PT Swap, menawarkan lebih fleksibiliti kepada pengguna serta meningkatkan kebolehskalaan program dalam jangka panjang.

 


Menurut Ramssol, pelaksanaan ini sejajar dengan sasaran kerajaan Indonesia untuk mencapai 13.5 juta motosikal elektrik di jalan raya menjelang 2030, satu tonggak penting dalam pelan hala tuju elektrifikasi negara itu.

 


Dengan pembangunan infrastruktur bateri yang pesat serta sokongan dasar kerajaan, Indonesia dilihat sebagai pasaran kondusif bagi Rider Gate Indonesia mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia utama penyewaan EV di rantau ini.

 


“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Ramssol di pasaran serantau, tetapi juga mengukuhkan peranan kami dalam menyokong ekonomi hijau dan mobiliti lestari di Asia Tenggara,” tambahnya. - DagangNews.com