IPOH 21 Nov – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengorak langkah sebagai pusat rujukan utama TVET maritim negara apabila menjalin kerjasama strategik bersama 2 syarikat swasta dan 2 agensi kerajaan.
Ia melalui majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) dan Pemberitahuan Kerjasama (NOC) yang berlangsung hari ini.
Inisiatif ini digerakkan oleh Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, Centre of Technology in Marine Engineering (CTME) dan Malaysia Marine Engineering Technology TVET Collaboration Hub (MarETech).
Ini bagi menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh latihan, penyelidikan dan pembangunan kompetensi dalam bidang Kejuruteraan Marin.

Pihak yang terlibat adalah Orkim Berhad, Pelita Akademi Sdn. Bhd., Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) serta Akademi Perikanan Malaysia.
Pemeterian LOI dan NOC disaksikan oleh Pengarah Urusan Orkim Berhad, Kept Cheah Sin Bi; Ketua Pegawai Eksekutif Pelita Akademi, Sukiman Mohamed; Pengarah KPSN, Norul Fahiezah Salehhuddin dan Pengarah Akademi Perikanan Malaysia, Anis Mazidah Abd Samad.
Kerjasama ini dijangka memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan, seterusnya melahirkan graduan TVET maritim yang lebih berkemahiran tinggi serta kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selari dengan usaha memperkukuh latihan industri, PUO turut menerima penempatan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Marin melalui program pembelajaran berasaskan kerja (WBL) di Orkim Berhad.
Penempatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran praktikal dan memahami keperluan sebenar industri maritim yang kian berkembang.


Sementara itu, Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che Meh menegaskan bahawa, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam memantapkan ekosistem TVET maritim negara.
“Gabungan kepakaran sektor swasta dan agensi kerajaan ini akan membantu PUO melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga cekap serta bersedia menghadapi cabaran industri maritim yang dinamik.
“Ini seiring dengan visi PUO untuk muncul sebagai pusat unggul TVET bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Dengan komitmen berterusan ini, PUO yakin dapat memainkan peranan utama dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan dan peluang dalam sektor maritim negara. - DagangNews.com








