RadiumX tawarkan rumusan digital untuk pembeli dan pelabur hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RadiumX tawarkan rumusan digital untuk pembeli dan pelabur hartanah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Mac - Radium Development Berhad melancarkan aplikasi mudah alih RadiumX, sebuah perisian yang mampu memperkukuh hubungan antara pembeli rumah, komuniti dan peluang pelaburan.

 

Pelancaran aplikasi itu menandakan satu pencapaian penting dalam strategi peralihan digital Radium, memperlihatkan komitmennya terhadap daya cipta dan pembangunan yang berfokuskan masyarakat.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, aplikasi berkenaan menyepadukan prinsip kelestarian dengan mengurangkan kos serta sisa kertas, sekali gus sesuai dengan keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

 

"Pelancaran RadiumX merupakan langkah penting dalam usaha peralihan digital kami, mengukuhkan misi kami untuk membina lebih daripada ruang fizikal dan mewujudkan pengalaman berteknologi yang bermakna.

 

"Dengan menyepadukan rumusan digital dalam ekosistem kami, kami bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti dan ketelusan, tetapi juga memupuk sifat bermasyarakat dalam kalangan pembeli rumah, pelabur dan pihak berkepentingan lain," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dengan slogan Satu Aplikasi, Peluang Tanpa Had, RadiumX menawarkan pelbagai ciri yang memberikan pengguna pandangan menyeluruh mengenai projek Radium, berita hartanah terkini dan kemas kini terbaharu.

 

Dibangunkan berdasarkan empat tonggak utama iaitu pemberdayaan, inovasi, komuniti dan visi berfokuskan masa depan, aplikasi itu digambarkan sebagai pemacu perubahan dalam industri hartanah.

 

Antara ciri utama aplikasi mudah alih tersebut adalah Property Xplore yang memberikan pengguna pandangan mendalam tentang tawaran hartanah Radium dan EngageX untuk pemilik hartanah memantau pembangunan, menjejak pembayaran berperingkat dan mengetahui prosedur tentang pengambilalihan hak milik.

 

Selain itu, ReferX memperkenalkan program rujukan yang memberi ganjaran kepada pengguna yang memperkenalkan pembangunan Radium kepada orang lain, sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan untuk mewujudkan ekosistem yang saling memberi manfaat.

 

RadiumX boleh dimuat turun di platform iOS dan Android. - DagangNews.com