KUALA LUMPUR 24 Feb – Radium Development Berhad mengumumkan hasrat untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan kumpulan itu yang sedia ada dengan menceburi pula sektor penjagaan kesihatan.
Tambahnya, perluasan portfolio tersebut merangkumi usaha pembangunan dan operasi hospital swasta, perkhidmatan perubatan am serta aktiviti penjagaan kesihatan yang berkaitan sektor berkenaan.
Langkah strategik ini akan diterajui oleh anak syarikat milikan penuhnya, Radium Healthcare Sdn Bhd, manakala pembangunan hospital awal akan dijalankan oleh Radium Hospital Ayer Keroh Sdn Bhd.
"Kami sedang membangunkan Radium Hospital @ Ayer Keroh di Melaka, sebagai kemudahan penjagaan tertiari dengan kapasiti permulaan 140 katil," maklum kumpulan itu kepada Bursa Malaysia hari ini.
Selain itu jelasnya, hospital tersebut boleh ditingkatkan sehingga 200 katil, dan projek ini melibatkan anggaran kos pembangunan RM300 juta yang dijangka beroperasi pada separuh pertama 2028.
Bagi memacu perniagaan baharu itu, ia melantik Dr Arun Kumar Beshamber Nath sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Radium Healthcare dengan pengalaman luas dalam pengurusan hospital swasta di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, biarpun penjagaan kesihatan merupakan kepelbagaian portfolio yang penting, kumpulan tetap kekal sebagai pemaju hartanah.
"Kami masih memfokuskan kepada pasaran Lembah Klang, dengan projek yang sedia ada dan pemerolehan tanah terbaharu terus menyokong perniagaan teras dan pertumbuhan masa depan kami," tambah beliau.
Radium jelasnya, ketika ini mempunyai rangkaian projek aktif dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) yang besar, termasuk di Cheras dengan potensi GDV mencecah kira-kira RM2.54 bilion,
Selain itu, ia ada projek di Kepong dan Pandan Indah yang akan dilancarkan pada tahun ini, manakala kedudukan kewangannya kekal stabil dengan nisbah gear 0.58 kali, disokong dana RM831.6 juta.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak kepada RM135.5 juta berbanding RM24.9 juta pada tahun sebelumnya (FY24).
"Peningkatan ketara ini disokong oleh hasil yang meningkat kepada RM199.2 juta daripada RM152.8 juta pada FY24, dipacu kemajuan projek hartanah utama seperti Suite Canselor @ Ampang," katanya.
Lonjakan itu turut disumbangkan secara signifikan oleh keuntungan bersih sekali bayar RM123.7 juta daripada perjanjian penyelesaian dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - DagangNews.com








