KUALA LUMPUR 28 Nov - Radium Development Bhd (Radium) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GreenRE Sdn Bhd (GreenRE) untuk menyepadukan amalan bangunan hijau dalam projek-projek Radium.
Melalui kerjasama itu, Radium akan memanfaatkan kepakaran GreenRE dalam reka bentuk mampan dan pensijilan bangunan untuk memasukkan prinsip-prinsip hijau ke dalam pembangunan mereka sambil memastikan pematuhan terhadap standard alam sekitar yang ketat.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan berkata, kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi menjadi tanggungjawab yang penting.
"Kami komited memupuk prinsip hijau dalam setiap aspek projek kami. Kerjasama kami dengan GreenRE mencerminkan komitmen tidak berbelah bagi untuk membina komuniti mampan dan menyumbang kepada agenda hijau Malaysia," katanya semasa majlis tandatangan MoU di Galeri Jualan Chancery Ampang, di sini hari ini.
Beliau menambah, Radium telah pun mencapai pensijilan GreenRE Gold sementara untuk R Suites Chancery Residences, Ampang dan Radium Arena, Jalan Klang Lama.
Selain itu, pembangunan kediaman Radium Adesa, Sungai Besi telah memperoleh pensijilan Silver sementara.
Pengarah Eksekutif GreenRE, Ashwin Thurairajah pada masa sama berkata, amalan pembinaan mampan bukan lagi satu trend, tetapi satu keperluan.
"Saya yakin kerjasama ini akan memberi kesan yang berkekalan bukan sahaja untuk pemegang kepentingan, tetapi juga untuk komuniti dan alam sekitar secara keseluruhan," ujarnya.
Selepas majlis tandatangan MoU, Radium turut memperkenalkan semula R Suites Chancery Residences, yang kini menampilkan taman gaya hidup mesra haiwan peliharaan seluas 10,000 kaki persegi.
"Kami melihat jurang pasaran di bandar raya Kuala Lumpur. Banyak taman awam di sini tidak mesra haiwan peliharaan, jadi kami memutuskan untuk memperkenalkan konsep ini dalam pembangunan kami.
"Selain itu, kami sedang berunding dengan pengendali hotel antarabangsa untuk mewujudkan sebuah hotel dalam projek ini, yang kami harap dapat dimuktamadkan tahun ini," katanya.
R Suites Chancery Residences, yang dilancarkan secara rasmi pada Januari 2023, merupakan pembangunan bercampur di atas tanah pegangan bebas seluas 0.88 hektar di Ampang.
Projek itu terletak berhampiran dengan Stesen MRT3 Circle Line Tasik Ampang yang dicadangkan.
Pembangunan setinggi 51 tingkat tersebut mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira RM500 juta dan menawarkan 944 unit SoHo dengan keluasan dari 452 hingga 1,873 kaki persegi.
Unit-unit berkenaan dijual pada harga bermula RM422,000 atau kira-kira RM933 setiap kaki persegi. - DagangNews.com