KUALA LUMPUR 14 Nov – Radium Development Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM94.24 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), meningkat dengan ketara berbanding RM4.81 juta tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan Radium Development itu melonjak susulan transaksi khas sebanyak RM123.7 juta daripada penjualan tanah kepada Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bukannya daripada operasi harian syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pendapatan bagi suku ketiga menurun 7% kepada RM45.06 juta daripada RM48.45 juta.
“Namun, bagi prestasi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (9M FY2025), syarikt mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM96.88 juta, berbanding RM7.25 juta dalam 9M FY2024.
“Hasil juga meningkat kepada RM127.64 juta bagi tempoh 9M FY2025, berbanding RM106.62 juta sebelum ini,” kata pemaju hartanah itu.
Radium development berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan kemajuan projek utamanya termasuk Suite Canselor @ Ampang, Vista Adesa, Radium Adesa @ Sungai Besi dan Radium Arena @ Old Klang Road.
Kumpulan mengumumkan dividen interim satu sen sesaham yang akan dibayar pada 12 Disember.
Syarikat itu berkata, prestasinya untuk FY2025 dijangka dipacu oleh projek pembangunan utama termasuk Residensi Desa Timur (Residensi Wilayah dan Suite Apartments) dengan GDV dianggarkan RM1 bilion selain projek Radium Arena, apartmen suite 988 unit dengan GDV RM506 juta yang mendapat sambutan pasaran sangat menggalakkan.
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, Radium akan meneroka segmen perniagaan penjagaan Kesihatan dengan pembukaan hospital 140 katil di Ayer Keroh, Melaka.
“Ia dijangka dibuka pada pertengahan 2028 untuk memberi pilihan rawatan kesihatan kepada penduduk sekitar kawasan itu dan menyokong aspirasi pelancongan berasaskan perubatan.
“Namun, sektor pembinaan hartanah akan kekal menjadi asas perniagaan teras dan pertumbuhan masa depan syarikat melalui beberapa projek berterusan dan pengambilalihan tanah di Lembah Klang.
“Sektor penjagaan kesihatan pula melengkapkan visi syarikat untuk mewujudkan komuniti yang lestari sebagai segmen perniagaan baharu yang mungkin diperluas ke lokasi strategik lain dalam beberapa tahun akan datang, komitmen jangka panjang syarikat untuk mengembangkan portfolio ini secara berperingkat dan mampan,” katanya. - DagangNews.com








