QL Innofood Park RM1.3 bilion perkukuh prospek jangka panjang QL Resources - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

QL Innofood Park RM1.3 bilion perkukuh prospek jangka panjang QL Resources - PublicInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Pelaburan strategik QL Resources Bhd dalam pembangunan QL Innofood Park bernilai RM1.3 bilion di Hutan Melintang, Perak dijangka memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, khususnya dalam segmen Pembuatan Produk Marin (MPM) dan Kedai Serbaneka (CVS), kata PublicInvest Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek bersepadu seluas hampir 100 ekar itu akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun, dengan matlamat mewujudkan hab pembuatan makanan berskala besar dan fleksibel bagi menyokong pengembangan kapasiti, kepelbagaian produk serta kemampanan margin.

 

Apabila siap sepenuhnya, QL Innofood Park akan menempatkan 13 kemudahan pengeluaran dengan kapasiti gabungan sehingga 130,000 tan metrik setahun, sekali gus meningkatkan kapasiti keseluruhan QL di Hutan Melintang kepada sekitar 180,000 tan metrik setahun, berbanding 50,000 tan metrik setahun ketika ini.

 

QL
Majlis pecah tanah pembangunan QL Innofood Park bernilai RM1.3 bilion di Hutan Melintang, Perak baru-baru ini.

 

Menurut PublicInvest, walaupun sumbangan pendapatan dijangka terhad dalam tempoh pembinaan, projek ini dilihat sebagai pemangkin penting kepada daya tahan pendapatan dan keupayaan operasi jangka panjang kumpulan.

 

“Pengembangan ini meningkatkan fleksibiliti operasi QL, membolehkan kumpulan memperluas campuran produk serta bergerak lebih jauh ke rantaian nilai, yang penting untuk mengekalkan margin dalam persekitaran kos yang mencabar,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Fasa awal pembangunan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur teras seperti storan sejuk pintar, utiliti mampan dan sistem logistik moden, dengan pelaburan awal sebanyak RM300 juta dan sasaran siap menjelang pertengahan 2027.

 

Selain itu, QL merancang untuk membelanjakan sekitar RM100 juta setahun bagi pembinaan loji pengeluaran individu di dalam taman tersebut.

 

Dari segi produk, kapasiti tambahan ini membolehkan QL mempelbagaikan penawaran melebihi produk sedia ada berasaskan surimi kepada produk berasaskan soya, ayam dan tepung, sejajar dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap makanan sedia dimakan yang mudah dan kaya protein.

 

Kepelbagaian ini dijangka menyokong inovasi produk serta penambahan nilai hiliran bagi saluran runcit dan perkhidmatan makanan, termasuk rangkaian CVS kumpulan.

 

Penganalisis turut berpandangan bahawa projek ini membuka ruang pengembangan pasaran domestik dan eksport, memandangkan tahap penggunaan kapasiti sedia ada kini hampir maksimum.

 

Walaupun kos dijangka meningkat pada FY28F berikutan permulaan caj susut nilai dan tempoh peningkatan penggunaan kapasiti, pandangan keseluruhan terhadap projek ini kekal positif dari sudut strategik jangka panjang.

 

Sehubungan itu, penilaian terhadap QL Resources kekal Neutral dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.50, sementara pasaran menunggu kejelasan lanjut mengenai jadual pentauliahan serta kadar peningkatan penggunaan kapasiti pengeluaran. - DagangNews.com