Q Centre lancar projek kuarters pekerja 9,000 katil di Meru, Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Q Centre lancar projek kuarters pekerja 9,000 katil di Meru, Klang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov – Q Centre Group penyedia utama penginapan pekerja yang mematuhi piawaian Malaysia meraikan satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran projek terbaharunya Q Centre @ Teratai yang menyediakan 9,000 katil di Meru, Klang.

 


Pengarah Urusan Bersama Q Centre Group, Simon David Leong berkata, kerja pembinaan projek kuarters itu dijadualkan bermula pada Januari 2026 dan dijangka siap menjelang Disember 2027.

 

“Projek itu merupakan sebahagian daripada strategi Q Centre Group untuk meningkatkan piawaian kebangsaan dalam penyediaan penginapan pekerja melalui pembangunan mampan yang berasaskan teknologi moden.

 

“Q Centre @ Teratai mencerminkan komitmen kami untuk mentakrif semula standard perumahan pekerja di Malaysia. Ia bukan sekadar membina tempat tinggal, tetapi mewujudkan persekitaran hidup yang mampan, selamat dan berteraskan teknologi, bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja serta menyokong produktiviti industri. 

 

“Kami berhasrat menjadikan Selangor sebagai model nasional bagi penginapan pekerja yang mematuhi piawaian ESG,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Pembangunan projek itu dilengkapi sistem keselamatan bersepadu termasuk akses pengecaman wajah, kamera litar tertutup, kawalan keselamatan 24 jam serta kemudahan lengkap untuk pekerja seperti kantin, surau dan perkhidmatan dobi.

 

Seorang lagi Pengarah Urusannya, Datuk Wira Joey Yan berkata, projek Q Centre @ Teratai adalah susulan pelancaran projek terdahulu syarikat di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), CLQ pintar pertama di Malaysia yang menggabungkan sistem pengurusan bangunan berasaskan AI.

 

“Kami berhasrat menyumbang kepada pengurangan jejak karbon di Klang, selain membangunkan lebih banyak CLQ bagi menyokong pertumbuhan industri di Selangor.

 

“Setiap pembangunan kami direka bagi memenuhi standard kebangsaan dan jangkaan ESG antarabangsa, sekali gus membantu pengilang dan pengeksport di Selangor mematuhi keperluan kelestarian global,” katanya.

 

Q Centre kini sedang melaksanakan rancangan lima tahun untuk membangunkan lebih 50,000 katil di seluruh negara melalui rangkaian CLQ moden, patuh piawaian dan mampan. - DagangNews.com