KUALA LUMPUR 25 Mac - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Sdn Bhd bersedia menyaingi kemunculan tiga syarikat baharu yang diberikan kelulusan secara bersyarat oleh pihak Kementerian Pengangkutan pada 7 Februari 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya yakin masih relevan dan terus diterima pengguna di negara ini kerana ada banyak kelebihan termasuk berpengalaman luas selama 30 tahun dalam perkhidmatan tersebut.
"Kami memiliki ramai pelanggan dengan setiap tahun hampir 1.4 juta yang datang melakukan pemeriksaan serta melibatkan kesemua 53 cawangan Puspakom di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis iftar anjuran syarikat berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan fasa pertama untuk perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor yang turut memecah monopoli hak eksklusif Puspakom manakala permohonan bagi fasa kedua dibuka pada 1 Mac 2025.
Tiga syarikat dipilih iaitu Wawasan Bintang Sdn Bhd di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor; Pakatan Petroleum Sdn Bhd (Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang) serta Beriman Gold Sdn Bhd (Kuching dan Serian, Sarawak).
Puspakom yang ditubuhkan sejak 1994 dan merupakan anak syarikat Kumpulan DRB-Hicom Berhad, sebelum ini dicemari dengan beberapa isu integriti sehingga disiasat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Mahmood Razak berkata, walau apa kes yang berlaku, tahap kepercayaan pengguna kepada jenama Puspakom telah lama bertapak kukuh dan pihaknya menyambut baik kehadiran pemain baharu sebagai mampu merancakkan persaingan industri lebih sihat.
"Ini juga meningkatkan prestasi setiap syarikat dan juga menguntungkan pengguna sendiri untuk memilih perkhidmatan terbaik, malah kami sedia bekerjasama dengan operator baharu itu kerana matlamat akhir kita sama iaitu keselamatan jalan raya," katanya.
Ditanya mengenai kewujudan kartel dari kalangan ejen yang dipercayai terbabit dalam penjualan slot tempahan pemeriksaan kenderaan bagi individu cuba mendapatkan nombor giliran lebih cepat, beliau mengakui belum dapat maklumat terperinci kes sedemikian.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada SPRM susulan tangkapan yang telah dibuat pada 21 Mac 2025 bahkan sedia membantu agensi itu selain JPJ bagi membanteras sebarang kegiatan salah yang menjejaskan hak pengguna lain.
SPRM dilaporkan menahan seorang ejen yang dipercayai menerima rasuah RM40,000 daripada pemilik kenderaan bagi merebut nombor giliran awal tanpa mengikut prosedur sah. Suspek ditangkap hasil operasi bersama SPRM, JPJ Putrajaya dan Puspakom sendiri.
Terdahulu, pada majlis berbuka puasa tu, Mahmood Razak menyantuni 20 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras dan penjaga mereka serta melancarkan tayangan episod akhir video web eksklusif, Inspection Hati Aidil bersempena Hari Raya Aidilfitri.
"Kami bukan sahaja mahu mendekatkan masyarakat dengan Puspakom, malah berkongsi kisah petugas yang berkhidmat penuh jujur meskipun berdepan banyak cabaran sebagai bukti komitmen kami melindungi keselamatan ramai pengguna jalan raya," jelas beliau. - DagangNews.com








