Puspakom naikkan kos perkhidmatan bergerak mulai 1 April 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Puspakom naikkan kos perkhidmatan bergerak mulai 1 April 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - Puspakom Sdn Bhd mengumumkan kadar baharu untuk perkhidmatan pemeriksaan kenderaan berkomputer secara bergerak yang ditawarkannya berkuat kuasa 1 April 2025.
 

Caj baharu bagi perkhidmatan trak bergerak (MTS) akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM3,300, manakala bayaran perkhidmatan van bergerak (MVS) dinaikkan daripada RM100 kepada RM120.
 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pelarasan itu dibuat berikutan pertimbangan teliti untuk menyelaraskan caj perkhidmatannya dengan struktur kos semasa.

 

Beliau berkata, langkah penyelarasan tersebut turut dilaksanakan selepas kajian menyeluruh bagi memastikan kemampanan perkhidmatan bergerak Puspakom untuk manfaat ramai pelanggan.
 

“Sementara itu, pelanggan yang hadir membawa kenderaan mereka ke mana-mana cawangan Puspakom sedia ada tidak akan terjejas dengan perubahan kadar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
 

Mahmood berkata, kenaikan tersebut turut mencerminkan realiti peningkatan kos operasi tetapi memberi jaminan bahawa yuran pemeriksaan kenderaan akan kekal sebagai tidak berubah.
 

Menurut kenyataan berkenaan, semakan terakhir caj perkhidmatan telah dijalankan Puspakom pada 2007, walaupun terdapat peningkatan secara tahunan dalam indeks harga pengguna.
 

MTS menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kepada syarikat yang memiliki armada besar, seperti pengendali kenderaan komersial, penghantaran barang, sekolah memandu dan pengedar kenderaan.
 

MVS pula menawarkan pemeriksaan untuk kenderaan persendirian, termasuk pemindahan hak milik, cukai jalan yang telah tamat tempoh dan pendaftaran kenderaan import. - DagangNews.com