PUI dan PT Haloje Delivery Indonesia jalin kerjasama strategik perkukuh ekosistem perniagaan digital  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PUI dan PT Haloje Delivery Indonesia jalin kerjasama strategik perkukuh ekosistem perniagaan digital 

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 2 Julai – Persatuan Ummat Islam (PUI) memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama PT Haloje Delivery Indonesia dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan digital dan memperluas akses teknologi ke seluruh lapisan masyarakat di Indonesia.

 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu berlangsung dalam acara MDEC DEX Connect Indonesia 2025 yang diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, disaksikan oleh Dato’ Syed Md. Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, serta Anuar Fariz Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), pada 30 Jun lepas.

 

Usaha Dakwah dan Ekonomi Berteraskan Teknologi

Ketua Umum Dewan Pengurus Pusat PUI, H. Raizal Arifin, M.Sos, berkata kerjasama ini merupakan satu langkah konkrit dalam misi PUI untuk menggabungkan agenda dakwah dan pemerkasaan ekonomi menerusi teknologi.

 

“Kami melihat usaha ini sebagai satu ikhtiar yang nyata dalam mempercepat transformasi digital dalam kalangan umat Islam.

 

"Dengan sokongan teknologi daripada Haloje, kami yakin potensi besar daripada institusi pesantren, koperasi dan para usahawan kecil di bawah bimbingan PUI akan lebih berkembang dan berdaya saing di era digital,” katanya.

 

Memperluas Manfaat Teknologi ke Akar Umbi

Sementara itu, Pengarah Urusan PT Haloje Delivery Indonesia, Deni Krida Laksana, S.Pd.I, menyatakan kerjasama ini selari dengan misi syarikat dalam memperluas manfaat teknologi ke akar umbi.

 

“Kerjasama ini adalah langkah penting untuk memperluas penggunaan teknologi. Dengan jaringan luas yang dimiliki oleh PUI dan semangat kolaboratif yang kukuh, kami optimis dapat membina ekosistem digital yang inklusif dan berdaya guna, khususnya bagi komuniti pesantren, UMKM serta generasi muda,” ujarnya.

 

Sinergi Memacu Digitalisasi Komuniti

Kerjasama ini turut dirancang bagi menyokong proses pendigitalan usahawan kecil, institusi pendidikan serta komuniti di bawah naungan PUI di seluruh Indonesia.

 

Melalui infrastruktur logistik dan platform digital milik Haloje Delivery, kedua-dua pihak komited untuk menyediakan rumusan digital yang mudah diakses dan relevan.

 

Ruang lingkup kerjasama merangkumi pembangunan perkhidmatan agihan berasaskan aplikasi, latihan digital untuk usahawan dan koperasi, serta integrasi teknologi di pesantren dan institusi pendidikan Islam.

 

Inisiatif ini juga menyasarkan penggunaan sistem logistik pintar untuk menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan dalam lanskap digital semasa.

 

Fokus Kolaborasi & Impak Jangka Panjang

Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuk:

  • Transformasi digital untuk komuniti dan usahawan di bawah PUI

  • Peningkatan literasi dan kemahiran digital dalam kalangan santri dan belia

  • Agihan produk tempatan melalui platform teknologi

  • Pemerkasaan koperasi dan unit perniagaan pesantren menerusi sistem penghantaran moden dan digital

 

Langkah ini menandakan babak baharu dalam kerjasama antara sektor korporat dan organisasi masyarakat. Gabungan kekuatan teknologi dengan jaringan komuniti diyakini mampu mempercepat penerapan teknologi secara lebih menyeluruh serta mendorong pertumbuhan ekonomi digital yang mampan di Indonesia. 

 

Haloje Delivery, dimiliki oleh Techzilla Global Solution Sdn Bhd, merupakan aplikasi penghantaran tempatan yang dilancarkan pada tahun 2018. Menawarkan perkhidmatan penghantaran atas permintaan dan hari sama dengan harga berpatutan, platform ini kini diiktiraf dengan Status Malaysia Digital dan merupakan rakan program ekonomi perkongsian eRezeki MDEC. - DagangNews.com