KUALA LUMPUR 21 April - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memulakan liputan terhadap Inspace Creation Bhd dengan nilai saksama sebanyak 33 sen sesaham, bersandarkan gandaan 12 kali unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2027.
Dalam satu nota penyelidikan, firma itu berkata penilaian tersebut mencerminkan diskaun kira-kira 20% berbanding purata gandaan sekitar 15 kali bagi syarikat setara tempatan, yang dianggap wajar mengambil kira permodalan pasaran Inspace yang lebih kecil walaupun memiliki profil margin yang baik.
PublicInvest menjangkakan pendapatan Inspace berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 11%, didorong oleh pelaksanaan pelan pengembangan, kepelbagaian asas pelanggan serta peningkatan kecekapan operasi.
Menurutnya, prospek jangka panjang syarikat turut disokong oleh perkembangan positif sektor hartanah komersial di Malaysia, perubahan keperluan ruang kerja serta aliran pelaburan yang berterusan.
Inspace merupakan kontraktor kerja dalaman (interior fit-out) menyeluruh yang memberi tumpuan kepada ruang pejabat komersial, khususnya di Lembah Klang.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan bersepadu merangkumi perancangan dan pengurusan projek, reka bentuk dan pembinaan serta penyelenggaraan, sekali gus memposisikan dirinya sebagai penyedia penyelesaian sehenti bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan kawalan kualiti.
Ia beroperasi terutamanya sebagai kontraktor utama untuk pelanggan sektor swasta, selain turut melaksanakan kerja subkontrak apabila diperlukan.
PublicInvest turut menekankan rekod prestasi kukuh Inspace serta kadar pengekalan pelanggan yang tinggi, disokong oleh pasukan pengurusan berpengalaman dan hubungan jangka panjang dengan pelanggan yang mendorong penglibatan berulang.
Dari segi strategi pertumbuhan, syarikat merancang untuk mengembangkan operasi di luar Lembah Klang, meningkatkan pendedahan kepada segmen komersial yang lebih luas serta mempertingkat kecekapan melalui pembangunan kemudahan storan dan fasiliti mock-up.
Sementara itu, industri kerja dalaman di Malaysia dijangka berkembang daripada RM2.8 bilion pada 2025 kepada RM3.5 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 11.8%, menurut Providence Strategic Partners Sdn Bhd.
Pertumbuhan sektor itu didorong oleh pengembangan hartanah komersial, perubahan keperluan ruang kerja, pertumbuhan industri pengguna akhir serta aliran pelaburan domestik dan asing.
Bagaimanapun, PublicInvest berkata antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk kebergantungan kepada keadaan pasaran hartanah dan pembinaan, tekanan persaingan serta pergantungan kepada subkontraktor yang melibatkan tenaga kerja asing. - DagangNews.com








