PTT Synergy rancang terbitan saham persendirian, bakal raih sehingga RM56.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PTT Synergy rancang terbitan saham persendirian, bakal raih sehingga RM56.2 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Nov - PTT Synergy Group Bhd merancang untuk melaksanakan terbitan saham persendirian melibatkan sehingga 43.22 juta saham baharu, bersamaan sehingga 10% daripada modal saham terbitannya, bagi mengumpul dana maksimum RM56.2 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, terbitan saham itu akan dilakukan dalam satu atau beberapa tranche, dengan harga terbitan ditetapkan kemudian.

 

Berdasarkan harga ilustrasi RM1.30 sesaham, PTT Synergy menjangkakan bakal mengutip RM55.4 juta untuk modal kerja, manakala RM800,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan pelaksanaan terbitan tersebut.

 

"Dana modal kerja berkenaan akan digunakan terutamanya untuk pembayaran kepada pemiutang perdagangan, termasuk pembelian bahan binaan seperti keluli, simen, konkrit pratuang, serta sistem storan automatik bagi projek-projek pembinaan dan hartanah kumpulan," kata kenyataan itu.

 

Buku pesanan belum dibil RM493.1 juta, tender aktif RM1.4 bilion

Sehingga 30 Jun 2025, PTT Synergy memiliki buku pesanan belum dibil (unbilled order book) bernilai RM493.1 juta, selain buku tender aktif berjumlah RM1.4 bilion.

 

Pada Oktober lalu, syarikat turut berjaya memperoleh kontrak tambahan bernilai RM106.2 juta, mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan.

 

Syarikat itu juga baru menyelesaikan pembelian 11.3 ekar tanah pegangan bebas bagi pembangunan gudang industri, selaras dengan strateginya meningkatkan kemampuan dalam pembangunan aset logistik dan industri.

 

PTT Synergy menjelaskan bahawa terbitan saham persendirian merupakan cara yang lebih pantas dan menjimatkan kos untuk mengumpul dana tanpa meningkatkan beban hutang, sekali gus menyokong projek semasa dan masa depan serta memperkukuh asas modal syarikat.

 

Kelulusan daripada Bursa Malaysia dijangka diterima dalam tempoh sebulan, dengan keseluruhan proses disasarkan selesai menjelang suku pertama 2026- DagangNews.com