PRU16 antara pemacu pasaran saham tahun ini, kata CIMB Securities kepada pelabur antarabangsa, tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRU16 antara pemacu pasaran saham tahun ini, kata CIMB Securities kepada pelabur antarabangsa, tempatan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Feb – CIMB Securities kekal optimis terhadap potensi pasaran ekuiti Malaysia bagi 2026, disokong pertumbuhan pendapatan korporat yang stabil, ekonomi yang berdaya tahan serta momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

 

Firma penyelidikan itu baru-baru ini membentangkan strategi dan prospek ekonomi 2026 kepada kira-kira 245 pelabur tempatan dan asing, dengan menggariskan beberapa pemacu utama yang menyokong unjuran positif tersebut.

 

Antara faktor utama ialah jangkaan pertumbuhan pendapatan korporat sebanyak 6.4% pada 2026, sekali gus menandakan tahun keempat berturut-turut peningkatan keuntungan syarikat tersenarai.

 

Pada masa sama, CIMB Securities meramalkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.4% tahun depan, disokong permintaan domestik yang mampan dan persekitaran pelaburan yang lebih stabil.

 

Firma itu turut menjangkakan pengukuhan ringgit yang berpotensi menarik semula aliran masuk dana asing ke pasaran tempatan.

 

Dari sudut sentimen pasaran, CIMB Securities melihat kemungkinan berlakunya rali pra-PRU16, mengambil kira sejarah prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI yang mencatatkan pulangan positif dalam tempoh 12 bulan sebelum pilihan raya bagi tiga daripada empat kitaran lalu.

 

Sektor perbankan, pengguna dan perindustrian lazimnya muncul sebagai penerima manfaat utama dalam fasa tersebut.

 

Selain itu, peluasan program GEAR-uP kepada 30 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran permodalan pasaran RM100 bilion dan pulangan pemegang saham 7.5% dilihat mampu menjadi pemangkin tambahan kepada pasaran.

 

Potensi pelaksanaan inisiatif “value-up” yang bertujuan meningkatkan piawaian korporat serta prestasi pasaran turut dijangka menyokong penilaian semula saham tempatan.

 

CIMB Securities turut berpandangan bahawa perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri yang menekankan pembaharuan institusi dan ekonomi utama akan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar negara.

 

Sehubungan itu, firma broker berkenaan mengekalkan sasaran akhir tahun FTSE Bursa Malaysia KLCI pada 1,772 mata, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 15.8 kali, sambil mengekalkan sektor dan saham pilihan utamanya. - DagangNews.com