KUALA LUMPUR 18 Nov – Momentum pertumbuhan Nestle Bhd dijangka terus kukuh sehingga tahun kewangan 2026 (FY26), disokong kekuatan eksport yang berterusan, kos input yang semakin reda serta bantuan fiskal kerajaan yang masih berterusan kepada pengguna.
Menurut MBSB Research, dalam pembentangan terkini, pengurusan menjelaskan peruntukan Belanjawan 2026 bagi Skim Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), termasuk pembayaran SARA seterusnya pada Februari 2026, dijangka merangsang lagi perbelanjaan isi rumah sekali gus membawa kekuatan permintaan domestik ke tahun kewangan baharu.
Bagaimanapun, MBSB berpandangan penilaian semasa saham tersebut semakin mahal, dengan PER 58.26x, iaitu lebih 2 sisihan piawai (SD) di atas purata tiga tahun sebanyak 44.86x.
"Ini memberi isyarat bahawa potensi kenaikan dalam jangka pendek telah banyak didiskaunkan ke dalam harga semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Seiring itu, saranan saham diturunkan kepada SELL, walaupun harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM94.50, berdasarkan penilaian Dividend Discount Model (DDM) dengan kadar pertumbuhan konsisten 3.2% dan WACC 6.1% yang tidak berubah.
Dalam perkembangan lain, Nestlé mengumumkan penyelesaian pertikaian undang-undang selama tujuh tahun dengan Mad Labs berhubung dakwaan penggunaan kod QR tanpa kebenaran pada produk Nestlé.
Dalam prosiding Mahkamah Tinggi pada 17 November 2025, kedua-dua pihak merekodkan penyelesaian penuh dan muktamad, yang merangkumi penarikan balik semua tuntutan serta apa-apa rayuan tertunggak di Mahkamah Rayuan.
Syarat penyelesaian turut menetapkan bahawa setiap pihak akan menanggung kos guaman masing-masing, sekali gus menamatkan secara rasmi proses perundangan panjang yang bermula sejak tujuh tahun lalu.
Syarikat tersebut menjelaskan penyelesaian itu tidak memberi kesan material kepada kedudukan kewangannya.
Namun, MBSB menegaskan kenaikan harga saham baru-baru ini telah memfaktorkan sepenuhnya prospek jangka pendek, justeru penurunan saranan kepada SELL dibuat bagi mencerminkan tahap penilaian semasa yang semakin ketat. - DagangNews.com








