Prospek kukuh Sarawak Plantation, kini menuju kitaran menuai hasil - Phillip Capital   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek kukuh Sarawak Plantation, kini menuju kitaran menuai hasil - Phillip Capital  

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Mac - Sarawak Plantation Bhd (SPLB) kini berada pada fasa keluar daripada tempoh penanaman semula intensif dan beralih kepada kitaran operasi berasaskan produktiviti, kata Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan itui berkata, dalam jangka sederhana hingga panjang, pemulihan volum pengeluaran dan peningkatan hasil dijangka menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan pendapatan syarikat.

 

Ini disokong oleh profil ladang yang semakin matang, peningkatan hasil tandan buah segar (FFB) serta kadar perahan minyak (OER) yang dijangka bertambah baik secara beransur-ansur.

 

"Faktor tersebut akan meletakkan SPLB pada kedudukan leverage operasi yang lebih kukuh mulai 2027 apabila pengeluaran meningkat dan kos operasi dapat dioptimumkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun Phillip Capital berkata, bagi tempoh terdekat, pertumbuhan pendapatan dijangka masih terhad berikutan peningkatan intensiti penggunaan baja serta normalisasi pengeluaran bermusim.

 

Sehubungan itu, penarafan “HOLD” terhadap saham Sarawak Plantation dikekalkan dengan harga sasaran 12 bulan sebanyak RM3.35.

 

Bagaimanapun firma itu berpandangan asas fundamental jangka sederhana syarikat semakin kukuh dan berpotensi menyokong pertumbuhan prestasi kewangan yang lebih stabil dalam beberapa tahun akan datang apabila kitaran produktiviti ladang mula menunjukkan hasil.

 

Phillip Capital berkata, peralihan kepimpinan di Sarawak Plantation juga dilihat menyokong fasa pertumbuhan baharu yang dipacu peningkatan hasil tuaian.

 

Menurut firma itu pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu dijangka memperkukuh disiplin pelaksanaan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi ketika kumpulan memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Langkah itu juga dijangka membantu SPLB menambah baik kawalan kos serta mengoptimumkan amalan agronomi bagi menyokong peningkatan produktiviti ladang.

 

“Peralihan kepimpinan ini berlaku pada masa yang sesuai apabila syarikat menamatkan kitaran penanaman semula berskala besar dan kini memberi tumpuan kepada peningkatan hasil serta kecekapan operasi,” katanya. - DagangNews.com