Proses rumit sudah berlalu, LIMA 2027 bakal jadi penampilan sulung Kapal Tempur Pesisir TLDM - CEO LUNAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proses rumit sudah berlalu, LIMA 2027 bakal jadi penampilan sulung Kapal Tempur Pesisir TLDM - CEO LUNAS

Replika Kapal Tempur Pesisir TLDM mendapat perhatian daripada pengunjung Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026). - Gambar/MOHD NAIM AZIZ
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 April - Lumut Naval Shipyard (LUNAS) yakin Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pertama mampu disiapkan Disember ini dan membuat penampilan sulung di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) April tahun depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat berkata, berdasarkan perkembangan semasa, pihaknya yakin memenuhi garis masa yang ditetapkan, lebih-lebih lagi proses rumit dalam pembuatan kapal itu telah berlalu.

 

"Paling rumit ialah kapal pertama. Jika sudah berjaya menyelesaikan segala rumusan kepada kapal pertama, kapal seterusnya akan menuruti. Ia seolah kita mengulang proses itu sebab tanda aras sudah ada.

 

 

 

 

 

 

 

"Biasanya pembinaan kapal seterusnya akan jadi lebih mudah dan cepat," katanya kepada DagangNews pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026).

 

LUNAS1
Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat

 

Azhar berkata, sasaran itu juga selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kapal pertama LCS diguna dan dipamerkan pada LIMA 2027.

 

"Insya-Allah kita ambil amanah itu, selesaikan dalam tempoh masa ditetapkan dan kami yakin ini sesuatu yang boleh dilaksanakan," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, 5 buah kapal LCS dirancang dibina sebagai sebahagian pengukuhan armada TLDM. Kapal pertama, KD Maharaja Lela, telah dilancarkan pada Mei 2024 dan kini menjalani fasa ujian limbungan. Ia dijangka memulakan pelayaran sulung dalam masa terdekat sebagai langkah penting sebelum ditauliahkan.

 

Kapal LCS kedua, KD Raja Muda Nala dan LCS ketiga, KD Sharif Mashor juga telah dilancarkan dan kini melalui pelbagai fasa pemasangan dan ujian sistem di limbungan.

 

lunas2
KAPAL LCS 1 dan 2 menjalani pelbagai ujian dan pemasangan sistem di limbungan.

 

Pembinaan LCS 4 pula kini melibatkan kerja kritikal termasuk pemasangan sirip penstabil serta ‘erection blok’ haluan kapal (bulbous bow).

 

Komponen ini memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kecekapan hidrodinamik kapal di laut.

 

Sementara itu mengulas lanjut proses rumit itu, Azhar berkata, pembinaan LCS berbeza dengan proses pembinaan kapal-kapal TLDM sebelum ini.

 

"Macam Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) dulu kita beli dan dua buah dibina di Jerman dan baki empat buah dibina di Malaysia.

 

"Tapi untuk LCS ini ada penambahbaikan nilai di mana kita cuba meningkat dari segi rantaian nilai, daripada kita hanya membina sekarang kita mereka dan melakukan integrasi sistem keseluruhan operasi kapal," ujarnya.

 

Lunas4
Proses pemasangan badan kapal LCS 4 yang dilakukan di limbungan LUNAS di Lumut, Perak.

 

Azhar menambah, cabaran itu bukan sahaja besar malah banyak syarikat asing meragui keupayaan anak tempatan untuk melakukan tugas ini dan mencapai piawaian ditetapkan iaitu mencapai standard Pertubuhan Perjanjian Antlantik Utara (NATO).

 

"Alhamdulillah kita berjaya buktikan, kita berjaya selesaikan isu reka bentuk kapal ini, integrasi sistem dan terbukti sudah berlayar untuk ujian di laut pertama Januari lalu," katanya.

 

Pusat Integrasi Pangkalan

Menurut Azhar, satu lagi elemen baharu yang diterapkan dalam pembinaan LCS ialah pembinaan pusat di pangkalan atau daratan bagi menyokong sistem senggaran kapal secara menyeluruh.

 

"Apabila beroperasi kelak sebarang masalah yang timbul kepada sistem kapal boleh ditangani segera. Kapal-kapal tidak perlu untuk balik ke pangkalan untuk kita menyiasat mencari punca masalah.

 

"Pusat itu membolehkan kita membuat pra-diagnosis atau penyiasatan awal menggunakan sistem rujukan yang ada bagi menyelesaikan sebarang masalah," katanya.

 

 

 

 

 

Beliau menambah pendekatan di luar kotak ini walaupun menambah sedikit kepada kos namun berbaloi untuk dilakukan jika jangka hayat sesebuah kapal selama 25 tahun itu diambil kira.

 

"Satu tindakan yang amat berbaloi dari segi pulangan pelaburan kerana ia mampu menyahkan risiko dan mempercepatkan proses masa untuk buat siasatan masalah di atas kapal," katanya. - DagangNews.com