KUALA LUMPUR 10 Nov – Kerajaan Selangor memberi lanjutan tempoh dua minggu lagi kepada 19 penduduk Kampung Jawa, Klang untuk mengosongkan tanah mereka yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, mereka diberi tempoh hingga 24 November 2025 untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, surat rasmi penangguhan telah dihantar kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang setelah mengambil kira permintaan penduduk untuk mendapatkan lebih masa bagi menguruskan pemindahan mereka.
“Ini adalah lanjutan terakhir kerana projek WCE akan memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Selangor tetapi juga seluruh Malaysia dan ia mesti diteruskan tanpa sebarang kelewatan lagi.
“Semua penduduk yang terjejas telah ditawarkan penginapan sementara melalui Skim SMART Sewa serta menerima pampasan daripada syarikat konsesi WCE,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: AMH desak kerajaan selesaikan segera isu kelewatan WCE, industri logistik tanggung kos berganda
Sebelum ini, kerajaan negeri telah menetapkan tempoh tujuh hari berakhir 10 November untuk penduduk terbabit mengosongkan tanah mereka, selepas mesyuarat bersama penduduk dan agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan.
Penolakan 19 pemilik tanah sepanjang 150 meter di Kampung Jawa sebelum ini menjadi faktor utama kelewatan siapnya projek WCE, yang kini telah melepasi 90 peratus pembinaan.
Projek WCE sepanjang 233 kilometer menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak, menyediakan laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan dijangka mengurangkan kesesakan di laluan sedia ada. - BERNAMA








