KUALA LUMPUR 6 Jan — Aliran kerja dalam sektor infrastruktur tenaga dijangka semakin rancak tahun ini, didorong terutamanya oleh projek-projek Tenaga Nasional Bhd (TNB), selain peningkatan pelaburan pusat data serta pelaksanaan projek Solar Skala Besar Lima (LSS5) dan LSS5+.
Menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB), perkembangan ini dijangka menambah permintaan baharu terhadap pembinaan pencawang dan talian penghantaran, sekali gus mengukuhkan momentum pendapatan sektor berkenaan sehingga tahun 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, kontraktor mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pengeluar kabel dijangka menjadi penerima manfaat utama, dengan syarikat tersenarai berada pada kedudukan lebih baik berbanding pemain kecil tidak tersenarai berikutan keadaan pembiayaan yang semakin ketat.
“Keadaan ini berkemungkinan terus menyebabkan penganugerahan projek lebih memihak kepada syarikat tersenarai yang mempunyai kunci kira-kira lebih kukuh dan akses pembiayaan yang lebih baik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
HLIB turut menegaskan sokongan dasar sebagai faktor penting, termasuk sekatan import kabel oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta keutamaan TNB terhadap kontraktor tempatan, yang secara tidak langsung mewujudkan halangan kemasukan kepada pesaing asing.
Dari segi pelaburan, TNB dijangka meningkatkan perbelanjaan modalnya tahun ini apabila capex yang ditangguhkan pada 2025 kembali dinormalkan susulan penyelesaian isu lebihan cukai.
HLIB menganggarkan antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion capex asas tahunan akan disalurkan kepada pembangunan grid tenaga.
Dalam segmen pusat data, HLIB percaya Malaysia akan terus menjadi destinasi pilihan pelaburan, disokong oleh struktur kos yang kompetitif serta kedudukan strategik negara ini di rantau Asia Tenggara.
Data turut menunjukkan pertumbuhan permintaan tenaga sektor komersial yang lebih kukuh sebanyak 7.7% bagi sembilan bulan pertama 2025, dengan pusat data menyumbang 5.2% daripada pertumbuhan tersebut, sekali gus mencerminkan keperluan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur voltan tinggi.
HLIB mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor infrastruktur tenaga bagi separuh pertama tahun ini, dengan menjangkakan pertumbuhan pendapatan berterusan di sepanjang rantaian nilai.
Menurutnya, kontraktor M&E seperti Jati Tinggi Group Bhd mempunyai liputan buku pesanan yang kukuh antara 1.6 kali hingga 5.2 kali, memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas bagi tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang.
Bagi pengeluar kabel pula, termasuk Southern Cable Group Bhd dan OSK Holdings Bhd, kontrak satu tambah satu dengan TNB dilaporkan telah menggunakan kira-kira 70% daripada peruntukan tahun pertama, dan berkemungkinan digunakan sepenuhnya menjelang suku pertama tahun ini sebelum lanjutan kontrak selama setahun.
Selain itu, gelombang aktiviti pengumpulan dana kebelakangan ini dalam kalangan kontraktor M&E dan pengeluar kabel tersenarai dilihat banyak diperuntukkan untuk sokongan modal kerja dan pengembangan kapasiti.
HLIB turut menjelaskan langkah TNB mewajibkan kontraktor M&E mendapatkan sendiri kabel voltan tinggi, berbanding sebelum ini dibekalkan oleh utiliti itu, telah meningkatkan keperluan pembiayaan.
Perkembangan ini dijangka menyebabkan projek infrastruktur tenaga akan semakin tertumpu kepada syarikat tersenarai yang mempunyai kekuatan kewangan lebih kukuh. - DagangNews.com








