Projek LMS Batch 2 manifestasi kerjasama erat industri, pemindahan teknologi Türkiye ke Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek LMS Batch 2 manifestasi kerjasama erat industri, pemindahan teknologi Türkiye ke Malaysia

Projek LMS Batch 2 menjadi pemacu kerjasama strategik industri Malaysia dan Türkiye.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 dari Türkiye menjadi titik tumpuan bagi aspek yang lebih strategik iaitu jalinan kerjasama industri yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

 

Program Kolaborasi Industri (ICP) Malaysia - Türkiye dalam bidang maritim ini akan dimuktamad sebelum akhir tahun ini.

 

Apabila dimeterai kelak, ia berpotensi memberi kesan besar terhadap industri pertahanan maritim tempatan termasuk melalui pemindahan teknologi yang ketara.

 

 

 

 

 

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataannya semasa meninjau perkembangan projek LMS Batch 2 di Istanbul Shipyard.

 

Kapal
Tiga buah kapal LMS Batch 2 bakal menggandakan kekuatan armada TLDM.

 

Kata Mohamed Khaled, Malaysia boleh mencontohi Türkiye yang sebelum menjadi negara pengeluar produk pertahanan turut melalui proses pemindahan teknologi dari negara lain.

 

“Türkiye hari ini berjaya membangunkan industri pertahanannya sendiri.

 

"Malaysia mempunyai aspirasi yang sama. Semoga hubungan baik serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye berupaya melonjakkan industri pertahanan tempatan dan pada masa sama, mengukuhkan kedaulatan negara," katanya.

 

Pembinaan 3 buah LMS Batch 2 oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) di limbungan tersebut adalah mengikut jadual yang ditetapkan.

 

LMS pertama dijangka dapat diluncurkan pada April 2026 diikuti LMS kedua pada Jun dan yang ketiga pada Ogos tahun sama.

 

Kapal
Mohamad Khaled bersama Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan delegasi Mindef semasa meninjau pembinaan kapal LMS Batch 2 di Istanbul, Türkiye.
 

 

Kapal

 

Kapal

 

Kapal tersebut dibina berdasarkan reka bentuk kapal korvet kelas-Ada, dibangunkan oleh STM yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi.

 

Program ICP di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) adalah inisiatif strategik untuk memastikan setiap perolehan pertahanan membawa manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan pembangunan teknologi negara.

 

ICP merupakan satu rangka kerja kolaborasi yang diwujudkan dalam strategi teras pembangunan industri pertahanan Malaysia. 

 

Antaranya ICP mewujudkan pemindahan teknologi, membina keupayaan industri pertahanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar negara.

 

Kapal

 

Ia juga mewujudkan platform kerjasama dengan syarikat pertahanan antarabangsa serta universiti tempatan dan menyokong vendor tempatan melalui penglibatan dalam projek bersama dan R&D.

 

Ini bagi memastikan aspek pembangunan kemahiran dan teknologi diintegrasikan secara sistematik dalam kontrak perolehan tersebut.

 

Ia selari dengan Teras 5 Pelan Strategik Kementerian Pertahanan (2021–2025) yang menekankan pembangunan industri pertahanan berasaskan teknologi dan penyelidikan.

 

Dalam projek LMS Batch 2, Technology Depository Agency (TDA) adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang menerajui ICP dalam pengurusan projek bersama syarikat Turkiye STM.

 

Kolaborasi ini bertujuan membangunkan pusat kepakaran reka bentuk, inovasi, dan membangunkan kapasiti industri maritim tempatan.

 

Kapal

 

Kapal
Kapal korvet kelas ADA milik Ukraine.

 

Selain projek LMS Batch 2, beberapa perolehan baharu Mindef telah menyaksikan pelaksanaan ICP secara dua hala dengan setiap industri yang terlibat.

 

Sebagai contoh, Korea Aerospace Industries (KAI) menawarkan ICP bernilai kira‑kira RM1.2 bilion dalam kontrak perolehan 18 pesawat FA‑50/TA‑50.

 

Tawaran melibatkan pendirian kemudahan final assembly, pusat MRO (Maintenance, Repair & Overhaul), sistem simulator penerbangan, dan pertukaran teknologi serta latihan jurutera tempatan.

 

Misalnya, syarikat tempatan Ikramatic Systems telah memeterai kontrak pembangunan Full Mission Simulator (FMS) dan Operational Flight Trainer (OFT) bersama KAI.

 

Kapal

 

Difahamkan proses tersebut masih berjalan dan dijangka lengkap menjelang 2026 iaitu pada masa sama pesawat pertama FA-50M dijangka tiba di tanahair.

 

Pembelian 2 pesawat rondaan maritim ATR P‑72M dengan Itali pula menyaksikan Mindef menandatangani perjanjian ICP bersama Leonardo pada DSA 2024.

 

Projek ini melibatkan kerjasama dengan TUDM, universiti seperti UniKL MIAT dan syarikat tempatan untuk R&D, pengurusan rantaian bekalan, serta latihan teknikal melalui program seperti Leonardo LEAP.

 

Syarikat G7 Aerospace Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian dengan Turkish Aerospace Inc. susulan projek ANKA UAS untuk TUDM.

 

Kapal

 

G7 akan mengurus 11 projek ICP bernilai setara pembelian dron ANKA, termasuk servis avionik legacy.  

 

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada Jun 2023 turut melancarkan Buku Dasar dan Garis Panduan ICP mereka.

 

Ia merangkumi program akademik seperti Master dalam bidang Aeronautik, Cyber Security & Management, Teknologi Maritim dan Pengurusan Teknologi Pertahanan.

 

ICP di UPNM memberi tumpuan kepada integrasi akademik dan industri pertahanan nasional.

 

Menerusi kerjasama strategik sedemikian, ICP menjadi komponen penting dalam dasar pertahanan negara yang menjadikan perolehan pertahanan bukan sahaja soal aset ketenteraan.

 

Pembelian sesuatu kelengkapan baharu sebaliknya menjadi platform untuk menyokong industri tempatan, pendidikan tinggi dan pembangunan teknologi.  - DagangNews.com