Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil pacu sosioekonomi petani, galakkan tanam semula sawit lebih tersusun - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil pacu sosioekonomi petani, galakkan tanam semula sawit lebih tersusun - MPOB

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Jan – Pelaksanaan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) terbukti memberi impak langsung kepada peningkatan sosioekonomi pekebun kecil sawit persendirian, bukan sahaja melalui penambahbaikan akses ke kebun, malah merangsang keyakinan penanaman semula sawit lebij tersusun dan mampan.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, Projek JLPK Sungai Terbuang 2 di Perak itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Larut Matang dan Selama, serta melibatkan peruntukan berjumlah RM247,986.

 

Usaha berkenaan jelas agensi itu, turut merangkumi pembinaan jambatan serta kerja menaik taraf jalan ladang sepanjang 800 meter bagi manfaat pekebun kecil dan penduduk setempat.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penambahbaikan jalan ladang telah meningkatkan permohonan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) dalam kalangan pekebun kecil di kawasan berkenaan.

 

“Pelaksanaan JLPK dilihat meningkatkan permohonan TSPKS 2.0 kerana pekebun kecil kini lebih yakin untuk melaksanakan aktiviti penanaman semula dengan jalan ladang yang telah dinaik taraf, sekali gus memudahkan urusan logistik dan pengangkutan,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Jalan Ladang Pekebun Kecil Sungai Terbuang 2 di bawah Program Santuni MADANI di Batu Kurau, Perak, baru-baru ini.

 

Menurut beliau, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPOB dengan kerjasama Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) menyediakan sokongan kewangan menerusi TSPKS 2.0 yang ditawarkan dalam bentuk geran padanan, dengan pembayaran balik hanya bermula pada tahun kelima selepas kelulusan, sekali gus meringankan beban kewangan pekebun kecil.

 

Beliau berkata, pembangunan sosioekonomi pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada harga pasaran minyak sawit dan tandan buah segar (TBS), sebaliknya turut dipengaruhi faktor pengeluaran seperti penggunaan bahan tanaman berkualiti, pembajaan, amalan pertanian baik (GAP), kawalan penyakit dan perosak serta ketinggian pokok sawit tua yang boleh meningkatkan kos penuaian.

 

“Dengan jalan ladang yang telah dinaik taraf, semua input pertanian dapat diuruskan dengan lebih cekap dan kos yang lebih berpatutan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil,” katanya.

 

Sementara itu, menurut MPOB, Kerajaan melalui Belanjawan MADANI 2026 telah mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta bagi penyelenggaraan dan pembangunan jalan ladang di seluruh negara untuk menambah baik kemudahan laluan serta kelancaran operasi ladang pekebun kecil.

 

“Sehingga 30 November 2025, KPK telah menyalurkan peruntukan bagi tujuh projek JLPK yang diluluskan di Negeri Perak dengan jumlah RM1.7 juta,” katanya.

 

Dalam aspek kesejahteraan komuniti, MPOB turut menyumbangkan komitmen dengan menaik taraf kemudahan Masjid Jamek Kampung Yaman Batu 20 melalui sumbangan Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam MPOB (PKKIM) serta peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Perak melibatkan jumlah keseluruhan RM120,000. - DagangNews.com