KUALA LUMPUR 29 Mei — PRG Holdings Bhd menerima notis khas daripada pemegang saham utamanya, Datuk Sheah Kok Fah, yang mencadangkan agar Andrew Chan Lim-Fai dilucutkan jawatan sebagai pengarah syarikat berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata notis tersebut diterima pada 28 Mei 2026 di bawah Seksyen 206 dan 322 Akta Syarikat 2016.
Menurut PRG Holdings, Kok Fah yang memegang 39.73 juta saham biasa dalam syarikat itu berhasrat mengemukakan usul berkenaan sebagai resolusi biasa pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadual berlangsung pada 25 Jun 2026.
Resolusi yang dicadangkan adalah:
“Bahawa Andrew Chan Lim-Fai dengan ini dilucutkan jawatan sebagai Pengarah Syarikat berkuat kuasa serta-merta menurut Seksyen 206 Akta Syarikat 2016.”
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan sebab di sebalik cadangan penyingkiran tersebut.
Andrew Chan Lim-Fai dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan pada Mac 2024.
PRG Holdings berkata lembaga pengarah kini sedang meneliti notis berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang, peraturan serta perlembagaan syarikat.
“Pengumuman lanjut berhubung sebarang perkembangan berkaitan perkara ini akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.
Kok Fah merupakan antara pemegang saham utama syarikat dengan pegangan sebanyak 8.14% berdasarkan laporan tahunan terkini kumpulan itu. - DagangNews.com








