Prestasi 1QFY26 CPE lemah, Maybank IB turunkan unjuran pendapatan hingga FY28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi 1QFY26 CPE lemah, Maybank IB turunkan unjuran pendapatan hingga FY28

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov – CPE Technology memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi yang lemah, mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM2.7 juta bagi suku pertama, menurun 57% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan hanya 11% daripada unjuran Maybank Investment Bank. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan syarikat juga merosot 13% kepada RM25.4 juta disebabkan pelanggan utama semikonduktor beralih kepada model inventori hanya apabila perlu sekali gus mengurangkan volum pembelian secara langsung.

 

“Aktiviti pengeluaran yang lebih rendah turut menekan margin keuntungan, dengan margin EBIT susut 11.2 mata peratus kepada 7.9 peratus dan margin keuntungan bersih teras menurun 11.0 mata peratus kepada 10.8 peratus.

 

“Jika dibandingkan suku sebelumnya, pendapatan syarikat menurun 22% disebabkan penurunan 41% dalam jualan semikonduktor akibat perubahan polisi pengurusan inventori pelanggan, berserta permintaan peralatan yang lebih lemah di pasaran Jepun,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Sebaliknya, segmen pembuatan produk berkaitan industri perubatan, bioteknologi, farmaseutikal dan peralatan makmal meningkat 58% suku ke suku, menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan. 

 

Maybank IB berkata, keuntungan teras suku pertama menurun 52% berbanding suku sebelumnya kerana volum yang lebih rendah tidak mencukupi untuk menampung kos overhead tetap dan kos persediaan awal bagi pelanggan baru.

 

Oleh itu, Maybank IB menurunkan unjuran pendapatan dan keuntungan FY26 hingga FY28 sebanyak 4 hingga 10%.

 

“Pendapatan FY26 dijangka sebanyak RM121.4 juta, EBIT RM25.7 juta ringgit, manakala keuntungan bersih teras RM23.4 juta. 

 

“Kami menjangka momentum syarikat akan bertambah baik pada 2026 hingga 2027, disokong oleh perbelanjaan CAPEX peralatan wafer fab yang kukuh untuk aplikasi AI dan nod teknologi terkini,” kata firma tersebut.

 

Namun, Maybank IB berkata, pihaknya kekal optimis terhadap prospek jangka panjang CPE Technology dengan mengekalkan saranan Beli dan sasaran harga 12 bulan pada harga RM0.93.

 

“Risiko utama yang dihadapi syarikat termasuk kitaran semikonduktor yang tidak menentu, perubahan dasar perdagangan, pesanan jangka pendek, kelewatan pengeluaran, kos berlebihan ketika menyiapkan pelanggan baru, risiko kehilangan kakitangan utama dan pergantungan kepada pekerja asing,” katanya. - DagangNews.com