KUALA LUMPUR 29 Mei - Press Metal Aluminium Holdings Berhad (Press Metal) dijangka mencatat prestasi suku tahunan tertinggi dalam sejarahnya pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), dipacu lonjakan harga aluminium global yang kekal tinggi ketika ini, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan berkata, prospek kumpulan terus kukuh susulan ketidakseimbangan struktur dalam pasaran aluminium global selepas konflik di Timur Tengah menjejaskan kapasiti pengeluaran di rantau itu.
Menurutnya, sekitar 3 juta tan kapasiti pengeluaran aluminium atau hampir 40% hingga 50% daripada bekalan Timur Tengah kini terjejas, sekali gus menyebabkan pasaran terus mengalami defisit struktur antara 1 juta hingga 2 juta tan pada 2026.
“Dengan gangguan bekalan dijangka berterusan, harga aluminium dijangka kekal tinggi dan memberi manfaat langsung kepada Press Metal.
“Selain itu, premium Main Japanese Port (MJP) yang kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun turut menyokong prospek keuntungan kumpulan,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan “BELI” terhadap saham Press Metal dengan harga sasaran (TP) RM10.50 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 17%.
Pada 1QFY26, Press Metal merekodkan keuntungan utama sebanyak RM625 juta, meningkat 6% suku ke suku (QoQ) dan 35% tahun ke tahun (YoY), manakala hasil meningkat 2% QoQ dan 5% YoY didorong harga jualan purata (ASP) serta jumlah jualan yang lebih tinggi.
Margin EBITDA kumpulan turut bertambah baik kepada 25.5% berbanding 24.6% pada suku sebelumnya, selain mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 2.5 sen sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan tersebut secara keseluruhannya menepati jangkaan dengan prestasi lebih kukuh dijangka direkodkan pada 2QFY26 apabila kenaikan harga aluminium dapat diterjemahkan sepenuhnya ke dalam pendapatan kumpulan.
Setakat suku semasa, purata harga aluminium LME meningkat kepada AS$3,625 satu tan atau 14% lebih tinggi berbanding 1QFY26, manakala premium MJP mencatat purata AS$294 satu tan.
“Walaupun kos penghantaran dijangka meningkat antara 20% hingga 30% QoQ pada 2QFY26, kesannya dijangka minimum memandangkan kos logistik hanya mewakili kurang 10% daripada keseluruhan kos operasi,” katanya.
Dari segi strategi lindung nilai, Press Metal telah melindung nilai sebanyak 65% pengeluaran aluminium bagi 2026 pada harga AS$2,750 satu tan, selain 50% pengeluaran 2027 pada AS$2,900 satu tan.
Firma itu berkata, penilaian saham Press Metal masih menarik pada 24 kali FY27F P/E, hampir selari dengan purata lima tahunnya, manakala TP RM10.50 membayangkan penilaian +2 sisihan piawai (+2SD) susulan prospek pertumbuhan pendapatan yang kekal kukuh.
“Risiko utama kepada prospek kumpulan termasuk kemungkinan kejatuhan harga aluminium global dan peningkatan kos bahan mentah,” katanya.
Pada 1QFY26, Press Metal merekodkan keuntungan utama sebanyak RM625 juta, meningkat 6% suku ke suku (QoQ) dan 35% tahun ke tahun (YoY).
Bagaimanapun, keuntungan berulang susut sedikit sebanyak 3% QoQ selepas mengambil kira pergerakan pertukaran asing.
Prestasi itu mewakili sekitar 20% hingga 24% daripada unjuran penuh tahun firma penyelidikan dan konsensus pasaran.
“Kami melihat keputusan ini secara umumnya selari dengan jangkaan kami tetapi mengatasi anggaran pasaran kerana kami percaya 2QFY26 akan mencerminkan sepenuhnya kenaikan harga jualan purata (ASP),” kata firma itu. - DagangNews.com








