Press Metal dijangka catat lonjakan keuntungan 3Q25, RHB Research naikkan TP kepada RM7.20 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Press Metal dijangka catat lonjakan keuntungan 3Q25, RHB Research naikkan TP kepada RM7.20

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 17 NOV - Press Metal Aluminium Holdings Bhd dijangka mencatat keputusan kewangan 3Q25 yang lebih kukuh didorong oleh harga aluminium global yang meningkat serta kos alumina yang stabil, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua faktor tersebut satu kombinasi yang dijangka mengangkat semula momentum keuntungan syarikat bagi suku berkenaan.

 

Menurut RHB lagi, prestasi ini mampu mengekalkan keyakinan pasaran terhadap kedudukan kompetitif Press Metal sebagai pengeluar aluminium kos rendah di rantau ini.

 

"Kami mengunjurkan keuntungan bersih teras (PATAMI) meningkat kepada RM520 juta hingga RM580 juta, lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

 

"Peningkatan prestasi ini didorong oleh kenaikan 7% harga aluminium di LME kepada USD2,620 satu tan, manakala harga alumina kekal hampir mendatar dengan kenaikan ringan 1%. 

 

"Faktor ini menurunkan nisbah kos alumina kepada aluminium kepada 13%, berada di bawah purata tiga tahun sebanyak 16%, sekali gus memberikan ruang margin yang lebih baik kepada syarikat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Press Metal dijangka mengumumkan keputusan kewangan 3QFY25 pada 20 November ini.

 

Berikutan prospek harga aluminium yang lebih kukuh, RHB menaikkan unjuran pendapatan FY25–FY27 sebanyak 12.5%, 14.6% dan 13.1% masing-masing. 

 

Purata harga LME setakat tahun ini (YTD) kini berada pada USD2,595 satu tan.

 

Sehubungan itu, harga sasaran baharu (TP) dinaikkan kepada RM7.20, daripada RM6.26 sebelum ini, berasaskan penilaian DCF termasuk premium ESG sebanyak 8% berdasarkan skor ESG Press Metal yang tinggi iaitu 3.4 daripada 4.

 

RHB berkata, bagaimanapun, prestasi suku itu dijangka sedikit diimbangi oleh penurunan premium Main Japanese Port (MJP) sebanyak 37% QoQ kepada AS$81 satu tan, namun kesannya dianggap tidak ketara berbanding sokongan kenaikan harga LME.

 

Secara tahunan (YoY), keuntungan Press Metal dijangka berkembang 9% hingga 22%, disokong oleh harga LME yang lebih tinggi (+10%) serta kos alumina yang lebih rendah (-30%), meskipun terdapat tekanan kos daripada harga anod karbon yang meningkat 27% YoY.

 

RHB turut memberi amaran risiko pertukaran mata wang asing akan terus mempengaruhi prospek pendapatan syarikat. 

 

Dengan USD/MYR menyusut 7.5% sejak awal tahun susulan pemotongan kadar FFR dan trend penyahdolaran, pendapatan Press Metal yang 90% berasaskan eksport mungkin terjejas.

 

Analisis sensitiviti menunjukkan setiap pengukuhan 2% MYR boleh mengurangkan keuntungan sekitar 5%, sekiranya syarikat tidak melaksanakan langkah lindung nilai. - DagangNews.com