KUALA LUMPUR 10 Mac – Presiden wanita pertama Institut Akauntan Malaysia (MIA), Saniza Said dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Surat pelantikan tersebut disampaikan oleh Dekan Fakulti, Prof Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor kepada Saniza dalam satu kunjungan hormat delegasi FPE UPSI ke firma audit Saniza & Co di Seberang Jaya.
Mohd Asri berkata pelantikan ini mengambil kira kepakaran profesional, pengalaman luas dalam industri perakaunan, serta rekod kepimpinan Saniza di peringkat nasional.
“Pelantikan ini akan memperkukuh hubungan strategik antara FPE UPSI dan Saniza & Co, khususnya dalam menyokong aktiviti pengajaran, penyelidikan serta pembangunan akademik.
“Malah, pelantikan ini juga akan memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara universiti dan industri pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.


Saniza yang juga Presiden MIA ke-16 mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam bidang audit, percukaian, tadbir urus serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau merupakan Akauntan Bertauliah MIA serta ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Persatuan Akauntan Cukai Malaysia (MATA), Association of Malay Chartered Accountant Firms (AMCAF) dan Persatuan Setiausaha Bumiputera Utara (SUTERA).
Selain itu, beliau turut diiktiraf sebagai ASEAN Chartered Professional Accountant (ASEAN CPA), satu pengiktirafan yang menekankan kepakaran profesional beliau di peringkat serantau.
Semasa kunjungan hormat tersebut, satu sesi perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, termasuk projek penyelidikan dan pembangunan akademik bersama.
Delegasi FPE UPSI yang mengiringi kunjungan termasuk Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Basri, bersama pensyarah lain iaitu Prof Madya Dr. Hazianti Abdul Halim dan Dr. Mohamad Hafiz Rosli. - DagangNews.com








