PR1MA umum perlantikan Brian Iskandar Zulkarim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PR1MA umum perlantikan Brian Iskandar Zulkarim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Feb - PR1MA Corporation Malaysia melantik Brian Iskandar Zulkarim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff yang menerajui jawatan tersebut sejak 4 Mei 2020.

 

Sebelum pelantikan ini, Brian Iskandar berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bandar Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

 

“Di bawah kepimpinan beliau, pembangunan Bandar Malaysia seluas 196.27 hektar telah dipacu ke hadapan, termasuk perumusan dan kelulusan Pelan Induk Bandar Malaysia yang merangkumi pembangunan bercampur serta infrastruktur strategik, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM173 bilion,” menurut kenyataan pemaju hartanah itu hari ini.

 

Brian Iskandar turut menerajui sebuah syarikat tersenarai awam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Damansara Realty Bhd, di mana beliau menyelia inisiatif utama termasuk pembangunan Bandar Damansara Aliff di Johor dan Bandar Damansara Kuantan di Pahang.

 

Beliau juga pernah berkhidmat di Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikatnya, Urusan Teknologi Wawasan, selain memegang jawatan Pengurus Besar Pengurusan Transformasi dan Usaha Niaga Luar Negara.

 

Sementara itu, Pengerusi PR1MA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata, pelantikan tersebut mencerminkan komitmen PR1MA terhadap kesinambungan kepimpinan yang kukuh, stabil dan berteraskan prestasi.

 

“Kami yakin beliau akan meneruskan momentum serta asas kukuh yang telah dibina, di samping memperkenalkan pendekatan strategik dan progresif baharu yang selari dengan keperluan semasa industri perumahan dan aspirasi rakyat Malaysia.

 

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff atas sumbangan signifikan beliau dalam memacu usaha penambahbaikan korporat serta memperkukuh struktur operasi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di PR1MA,” katanya. - DagangNews.com