Potensi perang bidaan beri sentimen positif, IJM kekal menarik meskipun siasatan SPRM, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi perang bidaan beri sentimen positif, IJM kekal menarik meskipun siasatan SPRM, kata MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Jan – IJM Corp Bhd kekal menarik kepada pelabur walaupun berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan potensi bidaan kompetitif dilihat mampu menyokong sentimen dan penilaian kumpulan itu dalam jangka sederhana hingga panjang, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Terima Tawaran ke atas IJM, dengan nilai saksama berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP) kekal pada RM3.29 sesaham.

 

Menurutnya MBSB, siasatan oleh pihak berkuasa ketika ini masih di peringkat awal dan setakat ini belum ada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap IJM atau individu tertentu.

 

 

 

 

 

Namun, perkembangan itu dijangka terus memberi tekanan kepada sentimen pasaran dan boleh mencetuskan aktiviti jualan dalam jangka pendek, sekurang-kurangnya sehingga siasatan selesai.

 

“Walaupun terdapat tekanan sentimen, potensi bidaan kompetitif terhadap IJM merupakan perkembangan positif secara tambahan kepada kumpulan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Media sebelum ini melaporkan bahawa IJM berpotensi menjadi sasaran perang bidaan, dengan sekurang-kurangnya tiga atau empat pihak lain dikatakan berminat, termasuk konsortium bumiputera yang diterajui kerajaan Sarawak, YTL Corp Bhd, UEM Corp Bhd serta AFA Group.

 

AFA Group khususnya dilaporkan terbuka untuk meneroka pengambilalihan perniagaan konsesi lebuh raya IJM.

 

Walaupun tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak, MBSB berpandangan bahawa kewujudan bidaan bersaing, sekiranya berlaku, boleh meningkatkan nilai tawaran ke atas IJM, meskipun siasatan rasuah masih berjalan.

 

Terdahulu, Sunway Bhd mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bernilai RM11.04 bilion pada harga RM3.15 sesaham, yang akan dilunaskan melalui gabungan 10% tunai dan 90% penerbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham.

 

“Memandangkan struktur dan harga tawaran Sunway, adalah munasabah untuk menjangkakan mana-mana bidaan bersaing akan menawarkan tawaran atau struktur yang lebih baik,” tambahnya.

 

Sementara itu, siasatan SPRM dijangka menambah risiko pelaksanaan serta berpotensi melambatkan proses pengambilalihan, memandangkan semua pihak akan menunggu kejelasan hasil siasatan.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, MBSB menegaskan kesan siasatan itu lebih tertumpu kepada masa dan sentimen jangka pendek, dan tidak menjejaskan daya tarikan asas IJM dalam jangka panjang.

 

Tambahnya, Sunway pun sebelum ini turut menjelaskan bahawa pihaknya akan meneruskan tawaran pengambilalihan terhadap IJM walaupun siasatan masih berjalan. - DagangNews.com