KUALA LUMPUR 25 Nov – Polyplas Sdn Bhd, anak syarikat Ge-Shen Corporation Bhd, memperkukuh kedudukan dalam sektor pembuatan dengan pembukaan sebuah kilang berteknologi tinggi di Pulau Pinang, selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah pengeluaran bernilai tinggi berasaskan inovasi.
Loji baharu yang dirasmikan pada 21 November itu melibatkan pelaburan RM24 juta bagi pembinaan fasiliti dan RM50 juta lagi untuk mesin canggih serta sistem automasi.
Dalam kenyataan hari ini syarikat itu berkata, langkah ini menegaskan komitmen Polyplas untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran berteknologi maju serta mempercepat penerapan Industri 4.0.
Polyplas berkata, keupayaan yang dipertingkat ini dijangka mengukuhkan kecekapan operasi, memendekkan masa pengeluaran serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor pembuatan berasaskan inovasi.
Pelaburan tersebut turut mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan berkemahiran tinggi merangkumi kejuruteraan, operasi teknikal, proses acuan (moulding), kawalan kualiti, automasi dan pengurusan.
Syarikat itu juga memperkukuh pembangunan modal insan menerusi latihan berstruktur, program peningkatan kemahiran serta kerjasama dengan universiti — seiring agenda pembangunan bakat negara.
Pengarah Urusan, Andrew Teoh, berkata loji baharu itu merupakan pelaburan besar bukan hanya dari aspek teknologi dan kapasiti, tetapi turut melibatkan pelaburan terhadap tenaga kerja, komuniti dan masa depan industri.
“Dengan peralatan tercanggih serta sistem pengeluaran lestari, fasiliti ini akan meningkatkan kecekapan operasi, menambah kapasiti dan menyokong peluasan kami ke pasaran baharu.
“Paling penting, ia mengukuhkan komitmen kami dalam penghasilan produk berkualiti tinggi sambil memastikan amalan pembuatan yang bertanggungjawab dan mesra alam,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, menyambut baik pengembangan Polyplas yang disifatkan sebagai contoh jelas syarikat tempatan yang berjaya bergerak ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai.
Beliau menambah, dengan memberi tumpuan kepada komponen plastik berkualiti tinggi untuk sektor perindustrian, peralatan perubatan (med-tech) dan barangan pengguna, Polyplas memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerumitan ekonomi negara dan memperkukuh daya saing industri pembuatan. - DagangNews.com








