KUALA LUMPUR 4 Nov – Polymer Link Holdings Bhd, pembekal serbuk plastik melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 25 November 2025.
Syarikat itu menyasarkan untuk mengumpul lebih RM30 juta dengan harga IPO ditetapkan pada 25 sen sesaham,.
Ia dijangka menjana RM24.3 juta untuk Polymer Link dan RM6 juta lagi untuk sekumpulan pemegang saham termasuk keluarga Koh yang menjual sebahagian saham mereka. Permohonan IPO akan ditutup pada 11 November.
Ditubuhkan pada 2011, Polymer Link beroperasi dalam rantaian bekalan plastik, mengkhususkan dalam formulasi, pengkompaunan dan penggilingan serbuk plastik untuk aplikasi umum dan khusus, serta pengeluaran warna masterbatch.
Bahan-bahan ini digunakan untuk menghasilkan produk plastik besar dan berongga seperti kotak penyejuk berinsulasi, tangki air, tangki diesel, peralatan taman permainan dan komponen perumahan modular.
Syarikat memperuntukkan 20.7% daripada dana baharu itu untuk membuka gudang di Brisbane, Australia, 25.5% untuk modal kerja, 14.9% untuk pembelian mesin baharu dan 8.2% untuk pembayaran balik pinjaman bank.
Selain itu, 30.7% daripada dana akan menampung kos penyenaraian dan boleh dialihkan untuk modal kerja jika perlu.
Hasil daripada tawaran jualan saham akan disalurkan kepada Koh dan isterinya, Teoh Lee Tean, dua anak mereka, Tat Chuan dan Tat Wei, serta pemegang saham Argel Joseph Baculo Adarlo dan isterinya Geeslin Montemayor Adarlo.
Selepas IPO, pegangan gabungan keluarga Koh akan dicairkan kepada 24.3%, manakala saham keluarga Adarlo berkurang kepada 11.7% setiap seorang.
Hong Leong Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO ini.- DagangNews.com








