KUALA LUMPUR 28 Jan – BM GreenTech Berhad (BMG) melalui anak syarikatnya, Plus Xnergy Services Sdn. Bhd (PXS) meraih kontrak bernilai RM71.76 juta bagi pembangunan projek solar fotovolta (PV) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bersepadu di KLIA Aeropolis, salah satu projek penggunaan sendiri (SELCO) terbesar di Malaysia.
Plus Xnergy menandatangani dua kontrak utama bersama Cenergi Aeropolis Renewable Energy Sdn Bhd (CARE) melibatkan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), serta pembekalan peralatan dan bahan, selepas berjaya dalam proses tender yang kompetitif.
Kontrak itu merangkumi RM43 juta untuk pembinaan dan RM29 juta untuk pembekalan peralatan dan bahan bagi projek solar 36 MWp / 30 MWac dengan BESS.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BM GreenTech berkata kontrak pembinaan bernilai kira-kira RM43 juta itu melibatkan kerja-kerja reka bentuk, pembekalan bahan, pembinaan, serta ujian dan persediaan operasi projek.
“Kontrak pembekalan pula bernilai kira-kira RM29 juta untuk membekal dan menghantar peralatan serta bahan yang diperlukan bagi projek tersebut,” katanya dalam makluman itu.
PXS adalah syarikat yang berdaftar di Petaling Jaya, Selangor dan beroperasi dalam pembangunan, pemasangan, penyelenggaraan sistem solar, serta memberikan perkhidmatan konsultansi berkaitan tenaga solar.
CARE pula merupakan usaha sama antara Cenergi SEA Berhad, anak syarikat UEM Lestra Berhad dan KLIA Aeropolis Sdn. Bhd iaitu anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad.
CARE mengurus pembangunan, operasi dan penyelenggaraan fasiliti tenaga boleh diperbaharui untuk menjana elektrik daripada sumber solar.
Ia disasarkan siap sepenuhnya pada separuh pertama 2027.
Apabila beroperasi, kemudahan tenaga boleh diperbaharui itu dijangka menyokong keperluan operasi harian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selari dengan usaha meningkatkan keselamatan tenaga dan kecekapan operasi lapangan terbang utama negara.
CARE RE facility itu turut disenaraikan antara projek SELCO terbaharu dan terbesar di Malaysia yang menggabungkan teknologi BESS.
Sepanjang jangka hayat operasi selama 25 tahun, ia dijangka menjana sekitar 46 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik bersih setahun dan mengelakkan pelepasan kira-kira 35,000 tan karbon dioksida setara (tCO2e) setiap tahun.
Jumlah penjimatan karbon itu bersamaan dengan bekalan elektrik kepada kira-kira 13,400 buah kediaman setahun atau pengurangan sekitar 8,000 kenderaan enjin pembakaran dalaman daripada jalan raya.
Projek ini dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting dalam landskap infrastruktur tenaga boleh diperbaharui negara, khususnya dalam menyokong sasaran peralihan tenaga jangka panjang Malaysia serta pengurangan pelepasan karbon dalam sektor infrastruktur kritikal. - DagangNews.com








