PKS Malaysia tertekan akibat beban cukai dan kos pematuhan baharu, kata Samenta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKS Malaysia tertekan akibat beban cukai dan kos pematuhan baharu, kata Samenta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Jan – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dijangka berdepan tahun yang mencabar apabila gelombang keperluan kawal selia dan pematuhan baharu mula berkuat kuasa.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata PKS sedang memasuki apa yang disifatkan sebagai zon kelangsungan hidup pada 2026, susulan kos pematuhan terkumpul yang semakin menghampiri tahap kritikal.

 

“Jika 2025 menyaksikan kemunculan ekonomi pematuhan, 2026 pula akan menyaksikan pelaksanaan penuh pelbagai beban kawal selia ini,” menurut Samenta, merujuk kepada beberapa peraturan baharu yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.

 

 

 

 

 

 

Antara keperluan tersebut termasuk Sistem Penilaian Sendiri Duti Setem, Sistem Levi Pelbagai Peringkat bagi pekerja asing, persediaan ke arah cukai karbon mengikut sektor, pelaksanaan mandatori e-invois untuk PKS dengan hasil tahunan melebihi RM1 juta, serta keperluan operasi baharu berkaitan pelesenan perniagaan.

 

Selain itu, obligasi berkaitan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka semakin ketat khususnya bagi syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan syarikat multinasional atau pasaran eksport.

 

Presiden Kebangsaan Samenta, Datuk William Ng berkata, kebanyakan PKS tidak mempunyai kapasiti kewangan mahupun kepakaran dalaman untuk mengurus garis masa bertindih serta tuntutan teknikal yang kompleks akibat pelaksanaan serentak peraturan berkenaan.

 

“Keadaan ini akan menyebabkan PKS yang tidak bersedia terperangkap dalam keadaan serba salah, sama ada gagal membiayai peralihan yang diperlukan atau berdepan risiko tersingkir sepenuhnya daripada ekonomi formal dan rantaian bekalan global,” katanya.

 

Menurut Samenta, tekanan tersebut hadir ketika PKS masih bergelut dengan cabaran sedia ada seperti kekangan kecairan, produktiviti rendah dan margin keuntungan yang semakin menyusut.

 

Persatuan itu memaklumkan PKS lazimnya beroperasi dengan margin keuntungan bersih sekitar 10 hingga 15 peratus, namun sebahagian besar margin itu kini terhakis akibat perbelanjaan defensif untuk tujuan pematuhan, bukannya pelaburan bagi pertumbuhan perniagaan.

 

“Ini adalah dana yang sepatutnya boleh digunakan secara ofensif untuk mengembangkan perniagaan,” menurut kenyataan itu.

 

Samenta turut menegaskan walaupun PKS tidak diwajibkan secara langsung di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional untuk menjejaki pelepasan karbon, realitinya banyak syarikat terpaksa berbuat demikian akibat tuntutan pelaporan daripada pelanggan korporat besar dan syarikat multinasional.

 

Sehubungan itu, Samenta menggesa perubahan pendekatan kawal selia dengan kerajaan beralih daripada penguatkuasaan berasaskan peraturan yang ketat kepada kaedah pemudah cara berasaskan insentif.

 

Antara cadangan dikemukakan termasuk moratorium selama 24 bulan terhadap kos kawal selia baharu, penyediaan dana untuk penggunaan alat pelaporan ESG berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta program latihan diterajui industri bagi membina keupayaan pematuhan dalaman PKS.

 

 

 

 

 

 

 

“Untuk PKS terus bertahan selepas 2026, jurang antara dasar kerajaan dan realiti di lapangan perlu dirapatkan,” kata Ng sambil menegaskan kerajaan wajar berperanan sebagai rakan strategik dalam fasa peralihan ini.

 

Tanpa langkah sedemikian, Samenta memberi amaran pematuhan berisiko menjadi bukan pemangkin daya saing, sebaliknya halangan utama kepada kelangsungan perniagaan PKS. - DagangNews.com